Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jabatan berkenaan akan dikendalikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terutamanya berkaitan penyeliaan dan penyelarasan sistem pendidikan Islam di sekolah agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), sekolah agama rakyat dan sekolah agama swasta termasuk pusat tahfiz di Melaka yang berdaftar di bawah JAIM.

Menurutnya, penubuhan jabatan baharu itu akan melancarkan lagi semua perkara serta sistem berkaitan pendidikan Islam yang sebelum ini diselia oleh JAIM sendiri.

“Seperti kita sedia maklum, JAIM mempunyai banyak tanggungjawab atau tugas yang perlu diuruskan termasuk menyelia pelbagai institusi Islam seperti masjid selain menguruskan pegawai syarak dan sebagainya.

“Bebanan kerja itu sangat banyak dan ia boleh memberi kesan kepada pengurusan pendidikan Islam. Justeru, penubuhan jabatan ini diharap dapat mengurangkan birokrasi ke arah pembangunan pendidikan Islam di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Hari Pertama Persekolahan Sesi 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Demang Hussin di Bukit Katil di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE