Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada manifesto kerajaan negeri dan dijangka dapat dilaksanakan paling cepat pada tahun depan.

Menurutnya, kerajaan negeri kini dalam proses perbincangan dengan pihak tertentu bagi menjayakan hasrat tersebut yang mampu meringankan beban masyarakat kurang berkemampuan di negeri ini.

“Kita telah melihat modelnya dan ada beberapa kumpulan sasar yang kita akan berikan kad kesihatan percuma ini untuk mereka menerima perkhidmatan (kesihatan) percuma daripada kita.

“Sekarang ini kita juga sedang melihat jumlah peruntukan yang akan diberikan tetapi nilainya tidak lebih RM500 setahun untuk setiap keluarga,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Santuni Cahaya Mata Bandaraya 2019 sempena Ulang Tahun Ke-16 Bandaraya Melaka Bersejarah di Hospital Melaka, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong; Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin; Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Norzitah Abu Khair dan Pengarah Hospital Melaka, Dr. Hatijar Mohd. Tan. - UTUSAN ONLINE