Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kejayaan pihaknya menerima kehadiran lebih 1.1 juta penumpang dalam tempoh sehingga Nov tahun ini.

"Kita optimis untuk menarik lebih ramai penumpang selaras dengan pelaksanaan pelbagai penambah baikan secara berperingkat bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bot sekali gus memberi keselesaan kepada pengunjung.


"Selain itu, kita juga akan mewarnai Sungai Melaka dengan menambah 'pencahayaan' di laluan bot dalam tempoh terdekat ," katanya kepada Bernama pada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) meraikan 20 warga emas dari Persatuan Kebajikan Insan Istimewa di Dataran Muara Sungai Melaka, Banda Hilir di sini hari ini.

Pada majlis sama, Azlan turut menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan termasuk kelengkapan alat tulis dan beg sekolah kepada 36 anak kakitangan PPSPM.

Untuk rekod, terdapat 36 buah bot yang beroperasi termasuk 10 bot baharu, selain sebuah bot jenis VIP yang mampu memuatkan 20 penumpang dengan dilengkapi pendingin hawa.

Azlan berkata pihaknya turut mendapat maklum balas positif daripada penumpang meskipun harga tiket bot itu mengalami kenaikan lebih 50 peratus bagi semua kategori pengunjung bermula 1 Dis lepas bagi menampung kos pengoperasian produk pelancongan berkenaan.

Tahun Melawat Melaka 2019 bertemakan 'A Gateway to Historic Malaysia' bakal diserikan dengan pelbagai acara dan program menarik di samping turut mempromosi 13 sub sektor pelancongan negeri termasuk sejarah, budaya, sukan, kesihatan, agro pelancongan dan eko pelancongan.- BERNAMA