Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sekiranya proses pemilihan pemimpin di MPKKB itu berjaya mencapai matlamatnya, ia akan diperluaskan di semua MPKKB dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) lain di negeri itu.

Menurut beliau, ketika ini pihaknya sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri bagi mencari kaedah terbaik mengadakan proses pengundian termasuk kemungkinan menggunakan undian secara elektronik.

“Terdapat dua perkara yang akan diambil kira apabila kita memperkenalkan proses pengundian MPKKB ini pilihan masyarakat iaitu kos pelaksanaan dan keberkesanannya.

“Jika kaedah ini mampu membantu kita mencari pemimpin MPKKB dengan berjaya, kita akan perluaskan kaedah ini di semua MPKKB dan MPKK,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Menurut Adly, dianggarkan terdapat berbelas buah kampung baru di seluruh negeri ini dan kerajaan negeri memilih Machap Umboo sebagai perintis bagi mengenal pasti keberkesanan kaedah tersebut.

Difahamkan, Negeri Sembilan telah mengadakan pengundian MPKKB di Paroi pada Julai lalu bagi memilih ketua kampung baru berkenaan. - UTUSAN ONLINE