Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peruntukan tahunan itu bagi digunakan kumpulan pelajar cemerlang yang layak secara menyeluruh tanpa tertumpu kepada satu bidang sahaja.

Menurutnya, antara bidang itu termasuk pengajian agama, kedoktoran, kejuruteraan malah bidang sukan sekali pun layak untuk diberi peluang sekiranya ada yang benar-benar layak.

“Aspek sumbangan pinjaman dan dermasiswa Tapem ini menyeluruh dan bukan hanya menumpukan bantuan kepada satu bidang dan satu kaum sahaja.

“Selain bidang yang biasa menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian, kita juga sedang menilai bidang sukan untuk mengenal pasti tokoh pelajar yang berkemampuan dalam bidang sukan agar dapat dihantar ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pelepasan Delegasi Penghantaran Pelajar Penerima Dermasiswa Pengajian Islam Melaka ke Universiti Al-Azhar, Mesir di Seri Negeri, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Mufti Kerajaan negeri, Datuk Abdul Halim Tawil; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (Tapem), Azrin Ab. Majid dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Azman Aziz.

Menurut Adly, program dermasiswa Tapem yang julung kali diperkenalkan itu membabitkan 27 pelajar yang akan menyambung pengajian dalam bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar membabitkan peruntukan sebanyak RM20,000 seorang bagi empat tahun pengajian.

Katanya, kaedah pemilihan itu dinilai oleh Sekretariat Pengurusan Pelajar Luar Negara (SPPLN) terhadap pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang memperoleh mumtaz dan jayyid jiddan dalam peperiksaan 2018. - UTUSAN ONLINE