Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kesemua sembilan projek naik taraf kemudahan pelancongan di kawasan tumpuan pelancong itu membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM765.35 juta.

Menurutnya, jalinan usahasama itu melibatkan PPSPM dan anak syarikatnya, Sungai Melaka Ventures Sdn. Bhd. (SMVSB) selain Menara Taming Sari Berhad, Planetarium Melaka Sdn. Bhd. (PMSB) dan Ayer Keroh Country Club Berhad (AKCC).

Manakala syarikat pelabur terlibat ialah River Impression Sdn. Bhd., Axtrium Biosis Sdn. Bhd., Newstar Pavilion Sdn. Bhd., Tun Fatimah Riverside Hotel Management Sdn. Bhd., Pilihan Lampiran Sdn. Bhd., Rezhal Enterprise, First Reliance Target Sdn. Bhd. dan NCT Green City Sdn. Bhd.

“Jalinan usahasama dengan tempoh perjanjian antara lima hingga 30 tahun itu dijangka bakal memberi pulangan dalam pelbagai bentuk mengikut projek masing-masing selain menawarkan peluang pekerjaan baharu.

“Ini termasuk tambah nilai kepada produk pelancongan sedia ada di Sungai Melaka, Restoran Melayu Melaka, AKCC, Menara Taming Sari dan Planetarium selain pulangan dalam bentuk ‘in-kind’ dan tunai serta penghasilan cenderamata pelancongan baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani kesemua perjanjian itu di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis; Pegawai Kewangan Negeri, Hanafi Sakri dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin. - UTUSAN ONLINE