Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis berkata, cermin mata atau gogal tersebut membolehkan para pelancong untuk mendapatkan maklumat berhubung sejarah Melaka secara terus sambil mereka berjalan.

“Para pelancong boleh memakai gogal khusus ini dan apabila mereka berjalan, segala informasi dan animasi serta keadaan permukaan 700 tahun dahulu boleh kelihatan melalui augmented reality dalam kelas tersendiri.

“Ini satu produk baharu dan kita berharap supaya dapat tarik lagi pelancong, terutama pelancong-pelancong sekitar rantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan juga Vietnam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran AR City Living Museum, Legendary Melaka dan Majlis Pembukaan AR Cultural Space di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Ginie Lim Siew Lin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pacific Future Limited, Lee Kien Yi. - UTUSAN ONLINE