Mayat Muhammad Harith Ishak, 23, yang merupakan penuntut Tahun 2 UiTM di Segamat, Johor ditemukan oleh seorang pekebun getah pada pukul 7.15 pagi semalam yang ternampak mayat mangsa dan motosikal ditungganginya terbabas di kebun miliknya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa dipercayai menunggang motosikal bernombor pendaftaran MCK 8551 dipercayai dari arah Jementah untuk pulang ke rumahnya di Felda Tun Ghafar Air Kangkong dekat sini.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui selekoh berhampiran kebun getah itu menyebabkan dia terbabas dan melanggar pokok.

“Kemalangan dipercayai berlaku antara pukul 11.30 malam Isnin hingga pukul 7.15 pagi semalam kerana mangsa dikatakan sempat menghubungi bapanya kira-kira pukul 11 malam sebelum kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arshad, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Jasin mendapati, penuntut berkenaan meninggal dunia akibat mengalami pelbagai jenis kecederaan berikutan terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Katanya juga, mangsa dipercayai meninggal dunia melebihi 24 jam sebelum mayatnya ditemukan.

Kes ini kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis masih menyiasat punca kemalangan tersebut. - UTUSAN ONLINE