Lori-lori besar dengan muatan pasir itu dipercayai menggunakan jalan utama taman tersebut untuk membawa pasir bagi tujuan projek tambakan pasir di muara sungai berhampiran taman tersebut.

Lebih membimbangkan, kehadiran lori-lori yang tidak dikawal ini menyebabkan rumah berdekatan jalan digunakan itu bergegar dan berhabuk selain merosakkan jalan dan longkang.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Permatang Pasir Permai, Saiful Azmi Tajuddin, 41, berkata, lori-lori yang dipercayai tidak mempunyai permit untuk membawa pasir itu sepatutnya melalui jalan khas yang telah disediakan di Muara Su­ngai Duyong.

Bagaimanapun menurutnya, lori berkenaan tidak menggunakan jalan tersebut mungkin disebabkan jaraknya lebih jauh berbanding jalan taman ini.

“Mereka ambil jalan mudah kerana jalan taman ini jaraknya hanya satu kilometer dengan tempat projek tersebut berban-ding jalan yang sepatutnya digunakan sejauh tiga kilometer.

“Sikap pentingkan diri sendiri ini bukan sahaja menyusahkan penduduk taman malah mengundang risiko kemalangan kepada orang ramai terutama-nya kanak-kanak yang bermain di taman pada waktu petang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jelasnya, pihak persatuan penduduk sudah membuat aduan rasmi secara bertulis dan aduan lisan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengenai masalah yang membelenggu penduduk taman sejak Januari lalu.

“Masa kita buat aduan, lori-lori ini tidak gunakan jalan taman dan guna jalan yang sepatutnya tapi sekejap sahaja. Lepas tu, mereka gunakan semula jalan taman tanpa rasa bersalah,” tegasnya.

Katanya lagi, pihak persatuan telah berbincang untuk membina besi penghalang di hadapan pintu masuk taman ini bagi menghalang lori-lori berkenaan masuk.

“Kalau pihak berkuasa pun tidak boleh halang lori-lori ini, maka kami akan gunakan cara sendiri bagi mengekang mereka demi keselesaan dan keselamatan kira-kira 550 keluarga taman ini,” ujarnya.