Utusan Malaysia difahamkan, masalah berkenaan berlarutan sejak sekian lama malah tempat itu seolah-olah telah ‘digazetkan’ sebagai tempat pembua­ngan sampah haram oleh segelintir pihak.

Sebelum ini, terdapat tong sampah besar diletakkan di kawasan itu bagi mengisi sampah-sampah yang dibuang namun sejak kawasan itu dipagar oleh pemilik tanah, sampah tetap dibuang di tepi jalan walaupun tiada lagi tong sampah besar disediakan.

Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri individu yang membuang sampah di kawasan itu perlu dihentikan kerana ia menjadikan jalan itu kotor dan berbau selain mencemarkan kebersihan kampung tersebut.

Salah seorang penduduk, Suriah Md. Sani, 42, berkata, masalah itu telah lama berlarutan kerana sebelum ini kawasan itu memang dikhaskan untuk membuang sampah, malah ada tong sampah besar disediakan oleh pihak berwajib.

“Tapi sejak ia dipagar, tong sampah besar itu tidak lagi diletakkan di situ namun orang terus membuang sampah kerana tiada tong sampah kediaman disediakan seperti di rumah-rumah taman.

“Justeru, pihak berkenaan perlu menyediakan tong sampah besar bagi memudahkan orang ramai untuk membuang sampah atau mewujudkan satu kawasan baharu bagi pembuangan sampah sementara sebelum dikutip oleh lori sampah,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li ketika dihubungi memberitahu, masalah longgokan sampah itu berlaku disebabkan ketiadaan tong sampah individu di rumah-rumah kampung seperti di taman perumahan.

“Apabila tiada tong sampah, mereka akan membuang sampah di kawasan tersebut yang sebelum ini mempunyai satu tong sampah besar untuk kegunaan penduduk.

“Bagaimanapun, saya akan membawa isu ini untuk perhatian kerajaan negeri kerana masalah ini bukan sahaja berlaku di Kampung Bukit Godek tetapi juga di beberapa kawasan lain termasuk Perkampungan Hang Tuah di Duyong,” tambahnya.