Dianggarkan terdapat sejumlah 325 pengayuh beca berlesen di pusat bandar raya ini yang mencari rezeki dengan menawarkan perkhidmatan itu khususnya pada musim cuti.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini nasib mereka seolah-olah tidak lagi dipedulikan walaupun diberi gelaran sebagai duta kecil yang merupakan kelompok pertama menyambut kehadiran pelancong.

Menyelami hati pengayuh beca yang berpanas dan berhujan demi rezeki menceritakan ba­nyak permasalahan yang dihadapi mereka namun tiada pihak yang peduli atau sudi untuk membela.

Apatah lagi empat persatuan yang ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib mereka kini hanya tinggal dua dan hanya satu daripadanya yang masih aktif.

Antara masalah yang kerap dihadapi golongan pengayuh adalah tindakan sesetengah pihak yang mendirikan khemah acara di laluan sehingga menghalang kayuhan.

Contoh terbaharu adalah semasa penganjuran Festival Kraf Negeri Melaka 2019 yang berlangsung di hadapan Menara Taming Sari baru-baru ini telah menyebabkan pengayuh tidak dapat menggunakan laluan dan meletak beca seperti biasa.

Wakil pengayuh beca, Azman Dollah, 53, berkata, tindakan mendirikan khemah acara itu menyukarkan mereka untuk melalui kawasan tumpuan pelancong.

“Bukannya kami pengayuh beca menentang langkah kerajaan negeri atau mana-mana pihak mengadakan program di kawasan tumpuan itu, tetapi mereka perlu memikirkan jika penuh dengan khemah, bagaimana kami hendak lalu.

“Selain itu, kewujudan perkhidmatan kereta kuda di kawasan laluan pejalan kaki di sekitar Kota A Famosa juga menyebabkan bau kurang menyenangkan sehingga ada pelancong yang mengatakan kawasan itu sudah seperti zoo ke­rana dicemari bau busuk,” katanya ketika ditemui di pusat bandar raya di sini baru-baru ini.

Menurut Azman yang sudah mengayuh beca hampir 40 tahun, pihaknya kesal kerana haiwan itu bukan sahaja membahayakan pelancong, malah pernah beberapa kali berlaku kejadian ia hampir melanggar beca dikayuh oleh rakan-rakannya.

Selain itu, sebanyak 325 pengayuh beca juga terpaksa bersaing dengan kira-kira 80 pengayuh beca tidak berlesen.

Apa yang menjadi masalah adalah, suara atau permasalahan pengayuh beca ini tidak dapat disampaikan kepada pihak atasan kerana persatuan yang ada tidak dapat membawa masalah ini ke pengetahuan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, perlu ada mekanisme agar semua pen­gayuh disatukan di bawah satu bumbung supaya segala permasalahan mereka dapat diatasi dengan segera oleh kerajaan mahu pun mana-mana pihak yang berkaitan.