RAJA HANG TUAH RAJA ISKANDAR

Pengerusi KTNB, Raja Hang Tuah Raja Iskandar berkata, bagi keuntungan ke atas yuran enam peratus, dividen diberikan.

“Perolehan yang meningkat dari tahun ke tahun adalah hasil perniagaan dalam bidang insurans takaful, hotel dan hartanah. Kita umumkan kedua-dua dividen tersebut.

“Bagi memastikan kita mampu menjana lebih keuntungan, KTNB akan mengadakan projek hartanah di lokasi yang masih belum dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan KTNB di Ayer Keroh di sini, baru-baru ini.

Raja Hang Tuah berkata, pihaknya masih belum memuktamadkan jenis projek hartanah yang akan dilaksanakan sama ada perumahan atau komersial.

Mengulas mengenai kerjasama syarikatnya dengan pengeluar barang kemas, Muhaimin Jewels & Gems Sdn. Bhd. (Muhaimin Jewels), pihaknya bercadang untuk melaksanakan pajak gadai Islam, Ar Rahnu.

“Setelah kerjasama dalam bidang perniagaan jual beli emas berjaya menghasilkan keuntungan yang meningkat, kita melihat usaha untuk melaksanakan pajak gadai Ar Rahnu bersama Muhaimin Jewels adalah tepat pada masanya.

“Kita merasakan lebih baik ahli KTNB datang kepada kita bagi memastikan barang kemas yang digadai tidak mudah lebur begitu sahaja jika digadai di tempat lain,” katanya.

Menurutnya, pajak gadai Ar Rahnu dengan kerjasama Muhaimin Jewels dari segi kepakaran akan bermula pada Oktober ini setelah segala prasarana sempurna dilengkapkan. - UTUSAN ONLINE