Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Kerk Chee Yee berkata sebaliknya ia turut merangkumi fokus kepada pembangunan sukan yang menyeluruh di setiap peringkat hingga akar umbi dan proses orientasi serta perkembangan sesebuah persatuan sukan.

Kerk Chee Yee
Kerk Chee Yee 

Katanya pengukuran KPI persatuan sukan antara lain bertujuan mengukur kecekapan persatuan, prestasi atlet dan organisasi, melalui sasaran kerja tahunan yang seterusnya dapat meningkatkan kualiti penyampaian persatuan. 


"Ia (KPI) termasuk bagaimana cara persatuan-persatuan tertentu membangunkan pasukan di bawah naungannya, cara ia melatih atlet-atlet sejak dari mula dan latihan yang diberikan selain bagaimana mereka menggalakkan orang ramai mengetahui sukan dan terlibat dengannya.

"Aspek ini menjadi satu KPI baru kepada persatuan sukan supaya penglibatan rakyat dalam sukan iaitu dari kelab-kelab, sekolah atau institusi pengajian ini dapat dilakukan secara menyeluruh bagi mengalakkan pembangunan sukan negeri," katanya kepada Bernama.

Kerk berkata pihaknya berharap dengan pendekatan menerusi proses orientasi dan perkembangan itu akan melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan untuk mewakili negeri, bukan hanya di peringkat kebangsaan malah mampu bersaing di persada antarabangsa.


Beliau berkata bagi menyokong usaha berkenaan komitmen daripada semua pihak amat diperlukan dan beliau juga menggalakkan semua persatuan sukan dapat berkolaborasi dengan pihak luar seperti syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu-individu.


"Walaupun kerajaan negeri sentiasa sedaya upaya membantu semua persatuan sukan termasuk dari segi kewangan, namun kita tidak boleh memberikan peruntukkan 100 peratus seperti yang diminta mereka," katanya. - BERNAMA