Pengerusi Jawatankuasa Per­­tanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Ab­dul Rahman berkata, setiap kompenan itu akan berlatarbelakangkan cara hidup masyarakat yang berbeza selain Laman Selera yang dibina iaitu setiap kios, rep­likanya akan menonjolkan ciri-ciri mengikut per­edaran masa dan zaman dari era Kesultanan Melayu Melaka sehingga ki­ni.

“Kota Budaya ini merupakan projek yang pertama di ne­geri ini yang menempatkan segala adat dan budaya yang wujud di Melaka khasnya dan Malaysia untuk dipertontonkan kepada generasi masa kini.

“Ia juga dilihat akan menjadi ikon baharu dan pro­duk pelancongan yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara kerana keistimewaan elemen-eleman yang di­terapkan dalam pembinaan projek berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Hasan berkata, setiap laman dan sudut dalam Kota Budaya itu juga akan mempunyai aktiviti bersesuaian dengan konsepnya seperti mini galeri yang memaparkan kronologi pembukaan Sungai Rambai di Laman Tok Kepau iaitu pengasas kawasan tersebut.

Menurutnya, projek tu dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan pihaknya sedang mendapatkan pertimbangan daripada kerajaan Persekutuan untuk memberi kelulusan peruntukkan sebanyak RM10 juta bagi merealisasikan projek tersebut.

Katanya, menerusi projek ber­kenaan juga dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk di kawasan itu dengan peluang menjana pendapatan dan peluang pe­kerjaan dapat diwujudkan.