Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sebelum ini pihaknya memohon kepada kerajaan Pusat peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menaik taraf sistem baraj itu yang sudah tidak dapat digunakan untuk mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di negeri ini.

Katanya, langkah pembaikan baraj itu akan tetap dilakukan sama ada menunggu peruntukan daripada Pusat atau mendahulukan bajet daripada kerajaan negeri.

“Mengenai peruntukan (RM10 juta) itu, sama ada diluluskan atau tidak kita akan tetap buat, tetapi ia memerlukan proses sebut harga dan pembukaan tender.

“Untuk itu apabila ada penawaran tender, kita menjangkakan kos pembaikan tersebut akan menjadi lebih rendah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Melaka di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Adly (Amanah-Bukit Katil) sebelum itu pada persidangan tersebut menjawab soalan Damian Yeo Shen Li (DAP-Duyong) mengenai peranan Majlis Penasihat Bandar Pintar (SCAC) Melaka dalam usaha menangani masalah banjir di negeri ini.

Beliau sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri akan mendahulukan peruntukan RM10 juta yang diminta daripada kerajaan Pusat bagi menaik taraf sistem baraj di pintu kawalan air muara Sungai Melaka untuk mengatasi masalah banjir yang melibatkan lebih 1,000 keluarga terpaksa dipindahkan.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) mengenai kesesuaian peranan Bandar Pintar Melaka untuk mengatasi masalah banjir, Adly berkata, pihaknya sedang berusaha memastikan sumber air daripada hujan di kawasan hulu (down stream) dapat menampung tadahan air dan dibawa ke kolam takungan yang sedia ada dan akan diwujudkan.

“Apa yang pasti kerajaan negeri mahu memastikan teknologi pintar itu dapat memberi manfaat kepada rakyat tetapi sekiranya ia membebankan mereka, sudah tidak ada lagi kepintaran di situ,” katanya.

Sementara itu, Adly memberitahu, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan bantuan pasca banjir sebanyak RM200 kepada setiap keluarga mangsa banjir yang terjejas dalam bencana yang berlaku di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah awal minggu lalu.

Katanya, bantuan tersebut akan disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala bantuan seterusnya akan dilihat berdasarkan kepada tahap kerosakan yang dialami setiap keluarga. - UTUSAN ONLINE