Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, menerusi perjanjian ini, pengurusan UTC akan diletakkan di bawah tanggungjawab tabung berkenaan untuk sementara waktu sebelum diumumkan pihak yang akan menguruskan pusat itu.

Menurut beliau, pengambilalihan ini membolehkan Yayasan DMDI menyelesaikan hutang pembayaran premium UTC yang tidak dinyatakan jumlahnya.

“Keseluruhan pengurusan serta pemilikan bangunan UTC Melaka selepas ini terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

“Pengambilalihan ini tidak membabitkan pengurangan tenaga kerja malah UTC akan beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian berkenaan antara kerajaan negeri dan Yayasan DMDI di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajan negeri, Datuk Hasim Hasan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Hanafi Sakri; Pengerusi Yayasan DMDI, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan DMDI, Datuk Jamil Mukmin.

UTC Melaka merupakan yang pertama diwujudkan kerajaan terdahulu pada 2012 dan diletakkan di bawah pengurusan Yayasan Melaka sebelum diambil alih oleh Yayasan DMDI beberapa tahun selepas itu.

Pada majlis itu, Adly turut mengumumkan kerajaan negeri mengambil alih 100 peratus saham DMDI Finance House untuk dipindah milik kepada Tabung Amanah Melaka.

Katanya, menerusi langkah itu, DMDI Finance House selepas ini dikenali sebagai Amanah Finance House Berhad. - UTUSAN ONLINE