Selain lokasi itu, tindakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menswastakan kutipan bayaran parkir di 12 lagi lokasi di negeri ini juga disifatkan membebankan orang ramai.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pelaksanaan bayaran itu sendiri sebenarnya ‘tidak dipersetujui’ oleh kerajaan negeri yang menerima pelbagai reaksi dan maklum balas negatif mengenai pelaksanaannya.

“Ramai penduduk yang membantah dan marah, jadi kita harap MBMB menarik balik keputusan itu kerana menyusahkan penduduk,” katanya dalam sidang akhbar membantah pelaksanaan kutipan parkir itu di Taman Puncak Bertam, baru-baru ini.

Kenyataan itu dibuat kurang 24 jam sebelum pondok kutipan bayaran parkir di Taman Nirwana, hangus dibakar dalam kejadian awal pagi pada 4 Januari lalu.

Kejadian itu dipercayai sebagai tindakan sa­botaj orang ramai yang membantah penguatkuasaan bayaran tersebut.

Difahamkan, keputusan mengenakan bayaran parkir itu dibuat tanpa sebarang kajian terperinci dan dipercayai membabitkan 13 syarikat swasta yang dikenakan bayaran RM800 hingga RM 1,000 sebulan oleh MBMB.

Menurut Poay Tiong, wakil-wakil rakyat kawasan juga tidak dimaklumkan atau diajak berunding malah hanya mengetahui isu itu selepas ia tular dalam media sosial.

“Sebarang penguatkuasaan yang membabitkan bayaran macam ini eloklah dibincangkan terlebih dahulu,’’ katanya.

Tinjauan Utusan Kota di lokasi pondok parkir yang terbakar itu baru-baru ini mendapati kutipan parkir telah dihentikan serta merta ekoran kejadian tersebut.

Dianggarkan sebanyak 42 tempat letak kereta berhadapan sebuah pasar raya dikenakan bayaran sebanyak RM1 setiap kali masuk sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai.

Malah, pengguna kende­raan juga dikenakan bayaran yang sama untuk masuk ke kawasan letak kereta itu walaupun sekadar untuk singgah seketika atau membuat pusingan sedangkan selama ini semua itu bebas dilakukan tanpa sebarang caj.