Mangsa yang telah tidak sedarkan diri dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka kira-kira pukul 2 pagi oleh pasangan suami isteri masing-masing berumur 45 dan 35 tahun itu.

Menurut sumber polis, semasa di hospital, kanak-kanak itu kemudian diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh petugas hospital namun gagal diselamatkan.

"Bagaimanapun kita percaya kanak-kanak itu didera kerana terdapat kesan lebam serta parut di kepala dan paha mangsa.

"Satu laporan polis juga telah dibuat oleh pihak hospital berhubung kejadian tersebut," kata sumber itu ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, kedua-dua pasangan itu juga telah ditahan dan mendapat perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Bagaimanapun kita masih menunggu laporan bedah siasat kanak-kanak itu yang dijalankan hari ini bagi mengetahui punca sebenar kematian," ujarnya.

Difahamkan pasangan itu yang bukan ibu bapa kandung kepada kanak-kanak berkenaan telah menjaga mangsa sejak akhir Julai lalu. - UTUSAN ONLINE