Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pihaknya mencadangkan persimpangan bertingkat itu dibina di Ayer Panas atau Bemban dekat Jasin berikutan pembangunan pesat yang berlaku di daerah tersebut terutamanya dalam sektor perumahan.

Menurutnya, pembinaan projek yang dianggarkan menelan kos RM80 juta hingga RM100 juta itu bertujuan untuk memastikan Jasin tidak ketinggalan menerima kemudahan akses kepada lebuh raya walaupun sudah terdapat satu persimpangan bertingkat di Lipat Kajang .

“Selain UPEN serta Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, turut terlibat mengadakan perbincangan serta kajian terperinci mengenai keperluan tersebut Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia serta beberapa jabatan lain.

“Sekiranya kita mempunyai sebuah persimpangan bertingkat baharu yang menghubungkan Lebuh Raya PLUS dengan Daerah Jasin, saya yakin ia akan menjadi katalis kepada kemajuan lebih drastik di daerah ini termasuklah kawasan berhampiran seperti Jasin Bis­tari,” katanya ketika ditemui pembe-rita selepas merasmikan Medan Selera Orang Jasin, di sini.

Yang hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pemba­ngunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Mohamad; ADUN Bemban, Datuk Ng Choon Koon dan Yang Dipertua MPJ, Shadan Othman.

Jelas Idris, pembangunan tersebut juga bertepatan dengan kehendak dan keperluan rakyat di negeri ini apabila mereka mempunyai lebih banyak pilihan untuk sampai ke Melaka sama ada menggunakan pintu masuk Simpang Ampat (Alor Gajah), Ayer Keroh (Me-laka Tengah) serta Lipat Kajang dan di Ayer Panas di Jasin.

“Ini satu kebaikan kepada rakyat serta penduduk Melaka malah selaras dengan kemajuan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang akan siap sepenuhnya pada 2025 kelak," ujar beliau.

Sementara itu tambah Idris, Melaka sehingga kini menerima lebih 500,000 kenderaan yang keluar masuk dari Le­buh Raya PLUS setiap bulan dan jumlah tersebut meningkat sebanyak dua kali ganda pada musim perayaan.