Pada hari siaran langsung pengumuman pembubaran Parlimen disiarkan di Facebook Perdana Menteri, laman sosial itu menerima kunjungan kira-kira 28,000 pengguna.

Penulis tertarik dengan salah satu komen yang dimuat naik semasa FB Live itu berlangsung yang jika diamati cukup mendalam mesej dan pengertiannya.

“Ya Allah keep this country peaceful...Let's learn from ot­her countries...so many blood..” yang bermaksud ...Ya Allah, kekalkan keamanan negara ini ...jadikan pertumpahan darah di negara-negara lain sebagai pengajaran kepada kami semua.

Komen berkenaan mungkin ringkas dan bersahaja tetapi menyampaikan mesej yang cukup mendalam dan perlu kita amati terutama apabila mengambil kira soal ke­stabilan politik dan keamanan yang dinikmati rakyat negara ini sekarang.

Kematangan pandangan si penulis itu ternyata jauh berbeza dengan komen-komen negatif yang ditinggalkan oleh segelintir pembaca yang hanya tahu menyelar dan mencari salah kerajaan.

Sementara itu, beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan, penulis sempat berbual dengan seorang anak muda ketika menghantar kenderaan ke pusat servis.

Anak muda ini Melayu, ibu bapanya tinggal di tanah rancangan di Sendayan, Negeri Sembilan dan penulis sempat bercerita kepadanya mengenai program Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Moha­mad Hasan yang diadakan di dewan tanah rancangan itu.

Amat mengejutkan apabila anak muda ini dengan berani menyatakan bahawa dirinya adalah penyokong kuat parti pembangkang yang akan menjatuhkan kerajaan BN pada PRU-14 akan datang.

Kebenciannya terhadap kerajaan jelas terpapar pada riak dan gaya percakapannya malah mengakui pernah tidak menyambut salam yang dihulurkan oleh Menteri Besar ketika terserempak di sebuah kedai makan kerana marahkan pemimpin kerajaan negeri itu.

Menurut anak muda itu lagi, walaupun dilahirkan dalam keluarga penyokong kuat BN dia sering berhujah mengenai pendiriannya yang menyokong perjuangan politik pembangkang. Bahkan tanpa segan silu, pemuda itu mengaku kejayaan yang dikecapi­nya tiada kena me­ngena dengan bantuan daripada kerajaan.

Kisah pemuda itu dan penulis komen di laman Facebook Perdana Menteri itu jelas menujukkan perbezaan sikap antara manusia yang angkuh dan yang menghargai erti ke­amanan yang dikecapi negara selama ini.

Jika difikirkan sedalam-dalamnya, mampukah seseorang itu mencapai kejayaan dalam sesebuah negara yang dianggap ‘gagal’, tidak membangun dan tidak aman. Tentu sekali tidak jawapannya.

Sesungguhnya tiada sesiapa yang mahu Malaysia menjadi negara kucar-kacir. Justeru jadilah rakyat yang bertanggungjawab dengan memilih kerajaan yang dapat meneruskan keamanan dan kemakmuran negara ini.