ALOR GAJAH 17 Julai - Penggunaan motosikal sememangnya menjadi pilihan kerana lebih menjimatkan kos selain memudahkan perjalanan terutama bagi yang tinggal di kawasan berkepadatan tinggi dan sesak.
Namun sikap tidak prihatin dan sentiasa ambil mudah segelintir pengguna motosikal sering kali menimbulkan rasa kurang selesa kepada orang ramai terutama penjalan kaki dan pengguna kenderaan lain.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pekan Alor Gajah di sini mendapati banyak pengguna motosikal meletakkan motosikal mereka di lokasi tidak sepatutnya seperti petak parkir kereta, depan premis perniagaan dan di kaki lima.
Hal ini secara tidak langsung menyumbang kepada masalah lot parkir kereta tidak mencukupi selain mencacatkan pemandangan.
Keadaan tersebut juga menghalang laluan siar kaki sehingga menyukarkan orang ramai menggunakan ruang berkenaan.
Hasil tinjauan turut mendapati masalah itu berpunca daripada sikap penggunggang motosikal yang keberatan untuk meletakkan kenderaan mereka di lot parkir motosikal yang disediakan.
Walaupun kebanyakan lot parkir motosikal tidak dikenakan bayaran, ramai masih tidak memanfaatkannya kerana beberapa faktor termasuk jauh dari lokasi yang ingin dituju, tahap keselamatan yang terjamin, tiada tempat teduh dan lain-lain lagi.
Sehubungan itu, diharap pihak Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dapat memastikan perkara tersebut tidak berlaku dengan mengetatkan penguatkuasaan termasuk memberi amaran atau saman kepada mereka yang berbuat demikian.
Jika kereta atau kenderaan lain boleh dikenakan tindakan kerana parkir di tempat tidak sepatutnya, penunggang motosikal juga wajar mendapat tindakan yang sama kerana ia termaktub dalam peraturan majlis.
Masalah ini dilihat terus berlarutan disebabkan faktor penguatkuasaan yang lemah selain sesetengah penguat kuasa yang menganggapnya tidak memberi masalah kepada pengguna lain.
Apabila ia dianggap tidak memberi masalah, maka lebih ramai lagi pengguna motosikal akan melakukan perkara sama dengan meletakkan kenderaan mereka sesuka hati tanpa bimbang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Untuk bergerak menjadi sebuah negeri maju, mentaliti tersebut perlu diubah dan selari dengan apa yang dilaksanakan masyarakat di negara maju yang sentiasa patuh pada peraturan walaupun ia perkara kecil.