Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi berkata, usaha yang dilaksanakan itu seperti termaktub di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan segala tinggalan serta artifak tersebut merupakan milik kerajaan.

Menurutnya, dipercayai terdapat banyak khazanah yang ditinggalkan daripada kapal karam di kawasan perairan negara terma-suk di kawasan Selat Melaka.

“Selain itu, kerjasama dengan beberapa pihak berkaitan turut dipertingkatkan terutama dalam aktiviti kajian untuk memulihara dan memelihara khazanah wa­risan di dasar laut.

“Bagaimanapun, untuk menjalankan penyelidikan ini, garis panduan prosedur operasi stan­dard (SOP) perlu diikuti kerana melibatkan beberapa jabatan lain selain kelulusan daripada pihak negara jiran jika ia berdekatan di kawasan perairan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Bicara Wa­risan Negeri Melaka 2017: Pemuliharaan dan Penguatkuasaan Warisan serta perasmian pejabat baharu Jabatan Warisan Negara Zon Selatan di Ayer Keroh di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Warisan dan Pembangunan Belia negeri, Datuk Norpipah Abdol serta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd. Yusop.

Pada masa sama, Ab. Ghaffar memberitahu, Jabatan Warisan Negara juga mengadakan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menjalankan penyelidikan dan ekskavasi terhadap kapal karam yang ditemui di dasar laut Pulau Bidong, Terengganu pada tahun 2012.

Katanya, kapal karam itu ditemui oleh seorang nelayan tempatan yang secara tidak sengaja menjumpai bahan-bahan peninggalan daripada kapal itu yang dipercayai dari abad ke-16.

Mengulas mengenai program Bicara Warisan beliau berkata, penganjurannya bertujuan mem­beri pendedahan tentang pera­nan, pendidikan dan penguatkuasaan di bawah Akta Warisan Negara dan Enakmen negeri da­lam mempertahankan warisan serta budaya negara.