Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, isu UEC adalah perkara yang memang tertentu dan perlu disegerakan untuk dibawa ke peringkat perundangan tertinggi DUN kerana berkaitan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, secara langsung melibatkan Perlembagaan.

“Sama ada ia (isu UEC) diluluskan (usul tergempar) atau tidak itu soal kedua, tetapi kita perlu membincangkan kerana dewan (Sidang DUN) ini adalah dewan kepentingan rakyat negeri Melaka.

“Kita nak supaya semua dibuat secara tuntas melalui proses, kita tiada absolute power (kuasa mulak) di sini kerana saya tak mahu ada orang lain pula yang pandai-pandai nak menentukan. Kita ada kerajaan dan kerajaan ini terbina daripada komposisi kerajaan dan bukan kerajaan bak kata Speaker DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sementara sesi rehat Persidangan Kedua Penggal Pertama, DUN Melaka Yang Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Idris (BN-Sungai Udang) cuba membentangkan usul tergempar berhubung isu UEC dalam persidangan hari ini, namun usahanya itu ditolak oleh Speaker DUN, Omar Jaafar sebelum berlaku sedikit kekcohan di dalam dewan.

Sementara itu, Idris memberi contoh negara jiran seperti Singapura dan Indonesia yang berjaya mengamalkan dasar bahasa kebangsaan mereka, lalu mempersoalkan tindakan negara yang seolah-olah bergerak ke belakang berhubung isu UEC.

“Semalam Yang Berhormat Ketua Menteri (Adly Zahari) ada menyebut tentang perpaduan, sentimen perpaduan. Asas kepada perpaduan itu adalah uniformity (keseragaman), kesamaan dan kita mesti lihat perbezaan itu dalam konteks secara sihat.

“Jadi kalau kita bercakap nak bersatu tetapi ke arah perpecahan dan saya tak dibenarkan langsung untuk membacakan usul... kata dewan kita terbuka, liberal, dewan mendengar suara rakyat tetapi saya bawa usul nak mengatakan bahawa perkara ini perlu dibincangkan di peringkat dewan ini ditolak.. bukan ditolak, diherdik lagi,” ujarnya.

Pada masa sama, Idris memberitahu, beliau hanya mahu membela supaya negeri dan negara kekal momentumnya ke arah yang lebih baik dan dapat dilakukan secara baik. - UTUSAN ONLINE