Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya amat menghargai peranan warga IPT yang sentiasa melaksanakan program pencegahan dadah bersama Pemadam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Saya berbangga dengan peranan pensyarah dan pentadbir yang berjiwa dedikasi membimbing semua mahasiswa ke arah kejayaan hidup tanpa dadah.

“Usaha murni ini perlu disokong oleh ibu bapa mahasiswa ini serta pihak pentadbir IPT. Sebagai badan sukarela, adalah diharapkan usaha Pemadam akan mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira parti, kedudukan dan warna kulit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kelab Mahasiswa Pemadam Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi. - UTUSAN ONLINE