DALILAH AWALUDIN
DALILAH AWALUDIN 

Penganjuran majlis tersebut adalah bagi mengumpul dana untuk program-program kebajikan selain disalurkan kepada golongan yang memerlukan bantuan seperti asnaf, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

Pengerusi Harwanis, Dalilah Awaludin berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran lebih 1,000 tetamu pada majlis itu yang akan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Adly Zahari.

“Sejak ditubuhkan pada 6 Ogos tahun lalu, Harwanis yang dianggotai seramai 15 orang ahli bertanggungjawab memperkasakan peranan isteri wakil-wakil rakyat dalam membantu melaksanakan pelbagai program kemajuan dan kebajikan kepada masyarakat negeri ini.

“Sehubungan itu, majlis makan malam amal ini akan diadakan untuk memperkenalkan Harwanis seterusnya majlis pelancaran pertubuhan ini yang akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka,” katanya dalam sidang akhbar berhubung penganjuran majlis tersebut di Seri Bendahara Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Dalilah yang juga isteri kepada Adly berkata, untuk itu pihaknya memohon sumbangan daripada mana-mana agensi, syarikat atau orang perseorangan yang ingin turut serta dalam majlis makan malam amal tersebut dengan membeli tiket yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu VVIP, VIP, Gold dan Silver.

Katanya, tiket VVIP bernilai RM3,500 membolehkan pembeli duduk semeja bersama Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri selain mendapat satu tiket jamuan dan cabutan bertuah selain boleh memasukkan iklan dalam buku program.

Bagi tiket VIP pula yang bernilai RM2,000 katanya, pembeli boleh duduk semeja bersama barisan Exco kerajaan negeri serta wakil rakyat selain menerima satu tiket jamuan dan cabutan bertuah serta pengiklan percuma dalam buku program.

“Pembeli tiket Gold yang bernilai RM1,500 pula, mereka akan menerima 10 tempat duduk jamuan dan cabutan bertuah iaitu untuk satu meja selain iklan dalam buku program manakala kategori tiket Silver bernilai RM150 iaitu pembeli individu, mereka akan menerima satu tiket jamuan dan cabutan bertuah,” jelasnya.

Beliau berkata, pelbagai acara menarik akan diadakan pada majlis makan malam amal itu yang akan bermula pukul 8 hingga 11 malam antaranya persembahan artis Aishah dan Zahid AF, bacaan ayat al-Quran oleh pelajar tahfiz, persembahan kebudayaan daripada kumpulan Briged Seni serta persembahan istimewa daripada anak-anak OKU.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penganjuran majlis makan malam amal ini boleh berbuat demikian sebelum tarikh akhir pendaftaran pada 15 April ini dengan menghubungi urusetia iaitu Nur Zakiah Ab. Karim di talian 010-6537730 atau Jebat Abdul Karim 012-2221230 atau talian 06-2328844. - UTUSAN ONLINE