Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan seni dondang sayang itu dipertahankan dan sentiasa dipelihara dengan baik agar ia tidak dilupakan.

Katanya, pengiktirafan yang diterima daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap seni dondang sayang pada Disember lalu membuktikan seni itu penting kepada warisan tanah air malah ia juga perlu menjadi kebanggaan negara.

“Untuk memperoleh pengiktirafan daripada UNESCO itu bukannya mudah tetapi hasil kerja keras semua pihak, dondang sayang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Sehubungan itu, kementerian akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membantu mempertahankan seni dondang sayang dan bersedia membantu mempromosikan budaya tempatan itu jika diminta berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan sijil pengiktirafan dondang sayang oleh UNESCO kepada kerajaan negeri dan penganugerahan Tokoh Budaya dan Warisan negeri Melaka di Perkampungan Hang Tuah di Duyong di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari mewakili kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Kemasukan dondang sayang dalam senarai UNESCO itu diputuskan di Mauritius pada 29 November lalu bagi kategori warisan kebudayaan tidak ketara (intangible cultural heritage)..

Pengiktirafan itu dibuat di bawah ‘Convention for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage 2003’ yang telah diratifikasi oleh Malaysia.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri akan berusaha memastikan tiga perkara iaitu pendidikan, bakat dan persembahan digabungkan untuk mempertahankan seni dondang sayang di negeri ini.

“Jika kita gabungkan pendidikan, peserta seni itu akan belajar dan mereka juga memerlukan bakat dan pada masa yang sama perlu mengadakan persembahan bagi memantapkan seni dondang sayang itu.

“Oleh itu kerajaan negeri akan berusaha memastikan seni dondang sayang sentiasa terpelihara dan kita berterima kasih kepada kementerian yang mengetengahkan warisan ini sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE