Bagi memastikan pelaksanaan CTS dan sistem operasi terminal (TOS) yang diperkenalkan mulai awal bulan itu berjalan lancar, Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) iaitu syarikat pengendali terminal tersebut akan menyediakan 10 kaunter jualan manual dan 20 mesin jualan tiket layan diri (vending machine) untuk kemudahan penumpang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, walaupun dimulakan sejak 1 Mac lalu untuk tempoh percubaan, mutu perkhidmatan CTS dan TOS akan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan penumpang selesa dan tidak terbeban dengan pelaksanaan sistem baharu itu.

“Hasrat Kementerian Pengangkutan adalah memastikan semua terminal bas ekspres di seluruh negara dinaik taraf dan Melaka Sentral adalah terminal bas kelima yang mula melaksanakan sistem CTS dan TOS mulai awal bulan ini.

“Baru beberapa hari beroperasi, kita sedar akan berlaku kelemahan dan setiap pembaharuan itu memerlukan masa jadi kerajaan negeri melalui MSSB akan memastikan kemudahan di terminal ini diperbaiki dari semasa ke semasa kerana kita masih di peringkat percubaan,” katanya selepas mengadakan tinjauan di Melaka Sentral selepas enam hari pelaksanaan sistem itu di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah MSSB, Nazri Abu Kasim dan Pengurus Besar MSSB, Md. Yusof Abdullah.

Menurut Mohd. Sofi, antara rungutan yang diterima pada awal pelaksanaan CTS dan TOS adalah ketiadaan kaunter khusus untuk penumpang warga emas, orang kurang upaya dan pembeli tiket secara dalam talian selain kesesakan iaitu terpaksa beratur terlalu panjang untuk mendapatkan tiket.

Bagaimanapun katanya, langkah itu sedang diatasi oleh MSSB secara berperingkat-peringkat di mana dua lagi kaunter penjualan tiket manual dan 10 kaunter jualan tiket layan diri akan diwujudkan.

Selain itu, kata beliau, MSSB juga akan menaik taraf kemudahan tempat duduk untuk penumpang menunggu di dalam terminal akan ditambah daripada 100 kepada 350 unit demi keselesaan mereka. - UTUSAN ONLINE