Pengarah Pembangunan Perniagaan TRRM Elaine Leong Lai Yee berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi tujuan menjadikan TRRM sebagai pusat pendidikan berkaitan serangga dan reptilia serta pusat hiburan atau rekreasi sekeluarga.


Beliau berkata elemen interaktif atau aktiviti 'hands on' juga diperkenalkan untuk menarik minat pengunjung khasnya kanak-kanak sepanjang melakukan lawatan di sekitar tapak pameran atau sangkar serangga dan reptilia melibatkan kawasan seluas 2.02 hektar itu.


"Sebelum ini, TRRM lebih memberi tumpuan dalam aspek penyelidikan untuk pembiakan serangga dan rama-rama dalam tempoh 27 tahun sejak ia beroperasi pada 1 Feb 1991 dalam usaha pemuliharaan khususnya spesis terancam selain menghasilkan spesis baharu berbanding mengejar sasaran atau jumlah pengunjung.


"Kita melihat pembaharuan atau penambahbaikan perlu dilakukan selaras dengan perkembangan semasa untuk memastikan TRRM ini dapat terus dibangunkan dan kewujudannya memberi manfaat kepada pengunjung khususnya pencinta haiwan seperti serangga dan reptilia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata seorang pendidik yang mempunyai kepakaran dalam bidang zoologi akan ditempatkan di setiap seksyen atau sangkar haiwan yang terdapat di TRRM dan mereka berperanan memberi maklumat berkaitan serangga atau reptilia tersebut selain membantu pengunjung melihat secara dekat, memberi makanan atau menyentuh haiwan terlibat.


Katanya setiap landskap seksyen atau sangkar haiwan yang dibina mempunyai cerita di sebaliknya dan ia dibina mengikut habitat sebenar haiwan berkenaan bagi memberi keselesaan dan mengurangkan rasa takut atau tergugat dengan persekitaran sekeliling.

Mengulas tentang spesis rama-rama yang terdapat di TRRM, Leong berkata lebih 60 spesis antaranya 'Idea lynceus' yang berjaya dilahirkan pada tahun lepas hasil penyelidikan dan pembiakan selama 12 tahun dan pusat tersebut menjadi satu-satunya makmal pembiakan spesis tersebut di dunia.

Beliau berkata lebih 20 spesis serangga ranting pokok berjaya dalam pembiakan yang dilakukan di pusat itu termasuk 'Heteropteryx Dilatata' atau dikenali sebagai' Malayan Jungle Nymph' yang berat serangga berkenaan mencecah sehingga 60 gram dan ia dikategorikan sebagai 'serangga ranting paling berat di dunia'.

"Kita juga mempunyai lebih 30 spesis ular sawa, tedung, anaconda dan kapak. Setiap haiwan ini mempunyai ciri, tarikan dan keunikan tersendiri yang boleh ditemui di sini," katanya.

Beliau berkata selain itu, tumpuan juga diberikan dalam sektor agrikultur khususnya penanaman pokok perumahan di TRRM melibatkan kawasan kira-kira 2.83 hektar untuk serangga dan rama-rama kerana setiap spesis berkenaan makan tumbuhan berlainan.


Katanya tapak tanaman agrikultur itu dijangka akan dibuka kepada pengunjung untuk lawatan pada tahun hadapan selain menarik lebih ramai sukarelawan untuk terlibat dalam penanaman pokok perumah berkenaan.


Sementara itu, beliau berkata kira-kira 10 peratus daripada jumlah rama-rama yang berjaya dibiakkan akan dilepaskan keluar dari taman berkenaan untuk memperluaskan pembiakan serangaa tersebut selain mewujudkan satu rantaian ekosistem yang baik.


Bagi pengunjung taman berkenaan, Zairi Zainuddin, 30, dari Perak berkata TRRM merupakan satu destinasi pelancongan dan pendidikan lengkap tentang pelbagai spesis rama-rama, serangga dan reptilia yang perlu didedahkan kepada orang ramai khususnya kanak-kanak.


Pekerja sektor awam itu berkata pengunjung bukan sahaja mendapat ilmu tentang haiwan yang ditempatkan di taman berkenaan malah mereka boleh melihat secara dekat dan secara tidak langung memupuk minat atau sayang kepada haiwan.


"Sangat menarik pendekatan yang dilaksanakan di TRRM..belajar sambil berhibur. Selain itu, banyak serangga istimewa dapat ditemui di sini. Guide (pendidik) yang bertugas juga mempunyai pengetahuan yang banyak tentang haiwan yang ada," katanya. - BERNAMA