Sejak dari itu, Nur Hidayah mendapat idea untuk menjadikan resipi tradisional ibunya itu sebagai pendapatan sampingan selain dapat memperkenalkan sambal tersebut kepada lebih ramai pe­minat sambal ikan bilis goreng.

Melihat kepada potensi serta permintaan tinggi yang berterusan daripada rakan dan orang ramai terhadap sambal ikan bilis goreng itu, dia mengambil langkah berani untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan khusus menjual produk tersebut secara lebih serius.

Kesungguhannya terhadap usahanya itu dibuktikan apabila Nur Hidayah sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat swasta dekat Batu Berendam di sini awal tahun lalu semata-mata untuk memberi perhatian penuh terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tersebut.

Keputusan yang diambil jelas tidak mengecewakannya malah dianggap pintu rezeki setelah produk keluarannya di bawah jenama Sambal Hatiku itu kini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutamanya sekitar Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Diusahakan secara bersama dengan suaminya, Muhammad Zuhri Mohd. Amir, 29, Sambal Hatiku kini mempunyai tiga produk yang ke­semuanya berasaskan ikan bilis ia­itu sambal cili api, sambal Cili Ke­ring dan Sambal Halia berharga dari RM10 hingga RM14.

Mengulas mengenai proses penyediaan sambal tersebut Nur Hidayah memberitahu, produk Sambal Hatiku menggunakan bahan mentah yang segar berkualiti tinggi seperti ikan bilis gred A, cili padi, cili merah, cili kering, halia dan bawang.

Kesemua bahan mentah ini diperoleh daripada pembekal sekitar Melaka dan dipilih sendiri olehnya untuk memastikan ia benar-benar segar bagi menjamin kualiti sambal yang dihasilkan.

Penyediaan sambal itu disediakan di bengkel miliknya menggunakan mesin berteknologi tinggi yang mampu mengasingkan biji cili agar penghasilan produk ber­kenaan lebih berkualiti serta tahan lama.

Produk Sambal Hatiku mempunyai ketahanan selama empat bulan dari hari dihasilkan dan sesuai untuk dibawa sebagai bekalan untuk percutian atau dikirimkan kepada penggemar juadah tersebut yang berada di luar negara.

Resipi membuat sambal ikan bilis goreng tersebut diperoleh daripada ibunya sendiri, Fatimah Mohamad, yang juga merupakan mentor dan penasihat terhadap semua produk dihasilkan.

Selain boleh dijadikan lauk, produk Sambal Hatiku yang mempunyai tahan kepedasan berbeza mengikut selera pelanggan juga boleh dimakan dengan roti atau dijadikan snek.

Proses penyediaan sambal ini mengambil masa antara lima hingga enam jam bermula dari menyediakan bahan-bahan mentah, mengisar, menggaul, memasak dan seterusnya pembungkusan yang dilakukan secara manual.

Sebanyak 80 hingga 100 peket sambal disiapkan Nur Hidayah setiap hari kecuali hujung minggu bagi memberi laluan untuk proses penghantaran serta jualan melalui ejen, outlet dan jualan secara langsung kepada pelanggan.

Sambal Hatiku masih belum memiliki kedai sendiri namun sehingga kini, terdapat sebanyak enam outlet yang menjual produk keluaran Sambal Hatiku selain lebih 20 ejen yang membantu jualan sekitar Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Lebih membanggakan, produk keluaran Sambal Hatiku kini turut boleh didapati di sebuah kafe Malaysia di Oman setelah pengusa­hanya berminat memasarkan sambal ikan bilis tersebut di negara itu.

Selain itu, sebuah syarikat makanan di Kuala Lumpur juga sering membuat pesanan dalam kuantiti besar bagi mendapatkan produk Sambal Hatiku untuk dipasarkan ke China terutamanya bagi peminat sambal ikan bilis serta masakan Malaysia di sana.

Nur Hidayah ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, dalam jangka masa satu hingga dua tahun lagi, syarikatnya berhasrat untuk memiliki sebuah kedai sendiri serta bengkel pemprosesan lebih besar bagi meningkatkan jumlah penghasilan produk.

“Kami turut menyasarkan untuk mempunyai sebanyak 30 outlet setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak yang membantu memasarkan produk keluaran Sambal Hatiku selain meluaskan lagi pasaran peringkat antarabangsa.

“Dengan penambahbaikan itu, kami berharap mampu menghasilkan sebanyak 1,000 peket sehari dalam masa dua tahun lagi setelah adanya kemudahan yang lebih baik dan mesin yang mencukupi pada masa akan datang,” katanya.

Produk-produk Sambal Hatiku boleh didapati dengan melayari laman: www.facebook.com/sambalhatiku dan instagram @SambalHatiku atau hubungi talian 012-3290364/017-3290455 untuk tempahan serta maklumat lanjut.