Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, penerima zakat bagi dewasa dinaikkan daripada RM350 kepada RM450 seorang manakala kanak-kanak menerima zakat sebanyak RM150 berbanding RM50 pada tahun sebelum ini.

Menurutnya, kenaikan itu adalah hasil peningkatan jumlah kutipan zakat pada tahun lalu sebanyak RM2.2 juta kepada RM87.8 juta berbanding RM85.6 juta pada 2017.

“Keseluruhannya terdapat sebanyak 2,400 penerima bantuan dari kalangan mualaf dewasa dan 100 mualaf kanak-kanak di seluruh Melaka yang telah dikenal pasti untuk menerima bantuan Syawal tahun ini.

“Bantuan ini diharap dapat membantu mereka membuat persediaan dan dapat menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri seperti masyarakat Islam lain,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Bantuan Persediaan Syawal Kepada Asnaf Mualaf MAIM di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha MAIM, Azman Aziz; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Azhan Samat; Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd. Sharif Somathulla dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Berhad, Abdul Halim Ismail. - UTUSAN ONLINE