Program anjuran bersama PPD Alor Gajah dan Jasin itu dihadiri oleh Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

Sumbangan itu melibatkan sebanyak 54 buah sekolah rendah dan 13 buah sekolah menengah di Parlimen berkenaan.

Mohd. Redzuan berkata, beliau berbangga dengan pencapaian beberapa buah sekolah di Parlimen itu yang mengharumkan nama negara termasuk di peringkat antarabangsa.

“Antaranya adalah Sekolah Kebangsaan Lesong Batu di DUN Machap Jaya yang telah mengharumkan nama Malaysia dengan memperoleh Gold Award & Best Costume dalam International Children’s Folklore Dance Festival Sakarya di Turki 2018.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga SMK Durian Tunggal (DUN Durian Tunggal) kerana telah menerima pengiktirafan tertinggi Green Flag daripada World Wildlife Fund for Nature atau WWF melalui pelaksanaan Program Eco-Schools Melaka dengan kerjasama Green Growth Asia Foundation,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Iftar dan penyampaian sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama guru besar dan pengetua sekolah-sekolah Parlimen Alor Gajah malam ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Abdul Malek Haron dan PPD Jasin, Dr. Mohd. Azam Ahmad.

Menurut Mohd. Redzuan, dalam Parlimen Alor Gajah terdapat dua buah sekolah yang mencatat kecemerlangan tertinggi dan menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan.

Katanya, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar di DUN Asahan diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) iaitu sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. 

“Seterusnya, Sekolah Kebangsaan Kemuning di DUN Machap Jaya diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK),” kata beliau.

Menurutnya lagi, Sekolah Kebangsaan Nyalas di DUN Asahan pula menjadi Johan Negeri Kompang Formasi (2013-2019) tujuh tahun berturut-turut dan tempat ketiga peringkat kebangsaan di Terengganu tahun lalu dan akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan di Perlis tahun ini. 

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Sekolah Kebangsaan Hutan Percha  di DUN Machap Jaya yang menjadi Johan Keseluruhan Anugerah Emas Robot Olympics peringkat kebangsaan setelah merangkul kesemua kategori yang dipertandingkan,” kata beliau.  - UTUSAN ONLINE