Pengarahnya, Abdul Aziz Abu Bakar berkata, kesemua bakal graduan berkenaan me­rupakan pelajar bagi sesi Di­sember 2015 dan Jun 2016 yang telah berjaya menamatkan pe­ngajian peringkat diploma di politeknik tersebut.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 336 graduan terdiri daripada pelajar sesi Disember 2015 manakala selebihnya 242 gra­duan lagi merupakan pelajar sesi Jun 2016.

“Kesemua bakal graduan ini merupakan pelajar daripada lima program yang ditawarkan di PMK iaitu Diploma Kejuruteraan Awam (129 pelajar), Diploma Kejuruteraan Elektronik Kawalan (111 pelajar), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (117 pelajar), Diploma Perakaunan (162 pelajar) dan Diploma Perniagaan Antarabangsa (59 pelajar),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Politeknik Melaka, Plaza Pandan Malim, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Konvokesyen Ke-16 PMK, Mohd. Nordin Mohd. Jani dan Pegawai Perhubungan Awam PMK, Reni Suriani Hashim.

Abdul Aziz berkata, majlis gilang-gemilang itu bakal di­sempurnakan oleh Pengarah Bahagian Dasar Jabatan Pendidikan Politeknik, Dr. Mohd. Rashahidi Mohamood.

“Ia juga akan disertai 238 kakitangan dan pensyarah PMK selain kehadiran kira-kira 1,000 tetamu termasuk ibu bapa para pelajar yang diraikan,” katanya.

Selain itu, pada majlis sama turut akan diadakan penyampaian Anugerah Pelajar Kesukarelawan kepada pelajar Diploma Kejuruteraan Awam PMK, Mohamad Zairudin Ashaari atas penglibatan aktifnya dalam pelbagai aktiviti kesukarelawan di dalam dan luar negara.

Sementara itu jelas Abdul Aziz, beliau berharap PMK akan terus maju dengan memenuhi lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPMPT iaitu kebolehan menghasilkan graduan yang seimbang, holistik dan bercirikan keusahawanan.

“Kita tidak mahu graduan yang dihasilkan hanya fokus untuk kerja makan gaji sebaliknya memiliki sema­ngat ke­usahawanan dan boleh ber­di­kari de­ngan menjalankan perniagaan atau perusahaan sendiri kerana segala pendedahan, kemahiran serta latihan telah diberi secukupnya sepanjang tempoh pengajian mereka di sini,” katanya.