Berikutan itu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah merampas sebanyak 25 unit bantal angin selepas menerima aduan ia digunakan untuk aktiviti tidak bermoral pada waktu malam oleh pasangan muda di Pantai Klebang di sini baru-baru ini.

Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin memberitahu, bantal angin itu disewakan pada kadar RM10 seunit untuk digunakan dalam tempoh sejam.

“Tiada masalah sekiranya orang ramai menggunakan bantal ini untuk berehat melihat pemandangan matahari terbenam iaitu bermula pukul 6 hingga 7 malam.

“Namun, jika ia digunakan untuk melepak sehingga malam dan melibatkan perbuatan tidak bermoral, pihak MBMB terpaksa mengambil tindakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kegiatan tidak bermoral melibatkan bantal angin atau digelar bantai cahaya itu tular selepas laman sosial Facebook `StreetIslah Melaka’ memuat naik beberapa keping gambar pasangan muda Melayu menggunakan kemudahan bantal itu.

Pasangan yang belum berkahwin itu dicekup ketika duduk berdua-duaan di atas bantal angin pada waktu malam di Pantai Klebang dan mengundang kemarahan warganet.

Menurut Mansor, berikutan penyalahgunaan itu, pihaknya telah membuat rampasan mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai MBMB 2010. - UTUSAN ONLINE