Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, setakat ini kira-kira 5,000 dari 16,000 Orang Asli di pedalaman negeri ini sudah pun menganut agama Islam.

Beliau berkata, terdapat lebih 100 pendakwah Maik termasuk penggerak masyarakat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertugas menjaga kebajikan dan memberi pendidikan kepada Orang Asli.

“Kita rancang kalau 500 orang setahun dapat kita dakwah kepada Islam maka Insya Allah dalam tempoh 30 tahun lagi seluruh Orang Asli di negeri ini dapat kita Islamkan.

“Kita ada rangka kerja dakwah yang komprehensif kepada Orang Asli termasuk melalui kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya selepas Majlls Jalinan Ukhuwah Aidilfitri Bersama Maik di Dewan Besar, Kompleks Islam Lundang di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, melalui kerjasama dengan UKM, pihaknya telah membina pelan dakwah berasaskan tiga modul utama.

Beliau berkata, modul pertama adalah penyediaan profil Orang Asli yang mengandungi maklumat dan jumlah yang sudah menganut Islam dan yang belum Islam.

“Keduanya adalah kurikulum yang seragam kerana dakwah tidak boleh dibuat sembarangan, kita masuk ajar mengucap, solat, puasa dan sebagainya.

“Modul ketiga adalah latihan kepada pendakwah (TOT) supaya mereka tahu setiap langkah terbaik yang perlu dilakukan untuk berdakwah kepada Orang Asli,” katanya. - UTUSAN ONLINE