Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd Hadi berkata, sebagai sebuah badan berkanun mereka telah menjalankan tugas sehabis baik namun tetap ada kekurangan sebagai manusia-manusia.

Beliau berkata, peluang seharusnya diberikan kepada Maik untuk membantu terlebih dahulu sebelum sebarang kes asnaf dihebohkan termasuk dalam media sosial.

“Pihak media pun tahu, acap kali kita turun bersama media, sebagai manusia yang tidak sempurna kadang-kadang kita ada juga ketinggalan tetapi sebaik berita sampai kita akan segera pergi tolong.

“Jadi saya minta semua pihak, jika ada kes asnaf yang kami terlepas pandang maka jangan cepat dihebohkan tetapi maklumkan dahulu kepada Maik, kalau kami tidak turun tolong juga maka pada masa itu nak heboh pun tak apa,” katanya selepas Majlls Jalinan Ukhuwah Aidilfitri Bersama Maik di Dewan Besar, Kompleks Islam Lundang di sini hari ini.

Sementara itu, Nik Mohd. Azlan berkata, sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, pihaknya telah mengagihkan RM32.47 juta wang zakat kepada 31,975 orang asnaf di seluruh negeri ini.

“Malah dalam tempoh bulan Ramadan baru-baru ini sahaja, sebanyak RM24.48 juta telah diagihkan kepada asnaf yang layak termasuk agihan tunai secara terus,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya sangat berterima kasih dengan peranan media yang menyalurkan maklumat secara langsung kepada Maik ataupun menerusi laporan yang disiarkan sekali gus memudahkan pengagihan bantuan zakat.

“Kita ada dua jaringan tetap yang mencari asnaf iaitu melalui Ketua Jajahan dan para imam, sebab itu dalam borang memohon bantuan Maik ia perlu disahkan kedua pihak ini.

“Kita kira dua saluran ini sudah memadai tetapi dalam realitinya kita masih lagi ada yang tertinggal dan semasa inilah kita perlukan badan bukan kerajaan (NGO) dan media,”katanya. - UTUSAN ONLINE