Lebih membanggakan, kerja-kerja penghasilan lukisan mural itu telah dijayakan seramai 28 sukarelawan mahasiswa UiTM Merbok dan sepuluh pelajar Institut Latihan Perindustrian(ILP) Nibong Tebal, Pulau Pinang selama tiga hari bermula 15 Ogos hingga 17 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Program Keceriaan dan Pengindahan Pekan Lama, Lim Wan Chuan berkata, usaha penghasilan lukisan mural dicetuskan MMS setelah cadangan awal untuk mengecat semula ke-seluruhan bangunan lama di situ dilihat tidak memberi nilai tambah dalam menaikkan kembali imej Pekan Lama.

Menurutnya, cetusan idea itu disalurkan Penyelaras program, Abdul Halim Yahaya setelah melihat penghasilan lukisan mural yang berkonsepkan ceritera asal-usul rakyat Parit Buntar pasti akan menggamit perhatian pengunjung dan penduduk setempat.

“Pekan Baru diwujudkan selepas itu bagi merancakkan kegiatan ekonomi setempat, namun aura Pekan Lama sebagai pusat perniagaan tumpuan penduduk masih tidak tergugat.

“Berdasarkan sejarah Parit Buntar, Pekan Lama dianggap pekan pertama yang wujud di Parlimen ini dan menjadi tumpuan utama penduduk untuk urusan membeli barangan keperluan asas dan sebagainya.

“Hanya setelah pihak kerajaan membangunkan Pusat Bandar Parit Buntar, barulah aktiviti ekonomi di Pekan Lama menjadi sema-kin suram berikutan kebanyakan peniaga sudah memindahkan operasi perniagaan di sana,”katanya sewaktu ditemui pemberita di sini hari ini.

Turut hadir Koordinator Kursus Seni Lukis dan Grafik UiTM Merbok, Abdullah Kula Ismail.

Wan Chuan berkata, projek penghasilan lukisan mural itu akan diadakan secara berperingkat dan selain itu, MDK juga sedang merangka perancangan untuk membangunkan Dataran Tepi Sungai Kerian untuk dijadikan pusat rekreasi dan kegiatan keluarga.

Menurut Wan Chuan, pihaknya berharap kesemua perancangan dibuat mampu menaikkan semula nama Pekan Lama sebagai salah satu pekan bersejarah di daerah Kerian.

Sementara itu, Abdul Halim menegaskan konsep penghasilan lukisan mural yang memaparkan kisah ceritera rakyat Parit Buntar diputuskan bersama oleh pihak jawatankuasa, MMS dan MDK.

Menurutnya, kesemua sukarelawan UiTM dan ILP yang hadir menjayakan program tersebut terdiri daripada mahasiswa kursus Seni Lukis dan Grafik.

“PIhak kami mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana kesudian menyumbangkan kemahiran dan kepakaran mereka dalam menghasilkan lukisan mural yang cantik bagi mengindahkan kawasan Pekan Lama.

“Selain itu, kos bahan lakaran dan cat lukisan mural disumbang oleh syarikat cat, peniaga setempat dan badan korporat,”katanya.

Abdul Halim berharap lebih banyak penghasilan lukisan mural dilaksanakan di setiap bangunan di Pekan Lama bagi memberi elemen keunikan kepada pekan itu, seterusnya menggamit kehadiran pengunjung.