Syarikat Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. (LCP) dan sekumpulan pakar bergabung menubuhkan Akademi Animasi Les Copaque (LCAA) di Seksyen 22 di sini setahun yang lalu.

Bagi mengetahui dengan lebih jelas peranan LCAA, wartawan Utusan Malaysia, Abdul Razak Idris menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif LCAA, Ir. Onn Mohd. Yusoff yang diberi mandat mengetuai operasi Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tersebut.


UTUSAN: Apakah kai­tan antara LCP dengan LCAA?

Ir. Onn Mohd. Yusoff : LCAA ialah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) bertaraf kolej yang berteraskan bidang animasi 3D, keusahawanan dan multimedia kreatif.

Program yang ditawarkan adalah berlandaskan bimbingan dan sokongan daripada pakar dan pengamal industri iaitu LCP sendiri bagi melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan memiliki tahap kebolehkerjaan yang baik.

Ringkasnya kami mewujudkan LCAA untuk menjadi tenaga penggerak kepada LCP dalam menghasilkan bukan sahaja watak ikonik Upin dan Ipin malahan lain-lain animasi.

Apakah misi dan visi LCAA bagi memastikan bidang animasi menjadi pilihan generasi Y?

Shah Alam yang me­rupakan pusat kepada segala aktiviti seperti ekonomi, pendidikan, sukan dan kebudayaan sebagai ibu negeri Sela­ngor.

Kami mensasarkan generasi muda dalam kalangan warganya sendiri dan kawasan Lembah Klang seperti Kuala Lumpur serta Putrajaya untuk melanjutkan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia di sini.

Antara kursus ditawarkan adalah Diploma in 3D AniMedia Technology dan Diploma in Business Creative yang mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi.

Adakah pengiktirafan ini menjadikan graduan LCAA layak be­kerja dengan syarikat lain?

Program Diploma 3D AniMedia (Animasi) mampu menghasilkan Juru Animasi yang berpengetahuan dan berkemahiran Teknologi Animasi, efektif dalam komunikasi dan memaparkan ciri kepemimpinan dalam sebuah organisasi.

Kami juga akan melatih mereka untuk menyelesaikan masalah operasi secara beretika dengan pendekatan yang kreatif, inovatif dan mampan.

Bila mereka tamat belajar insya Allah mereka akan berupaya mengamalkan kemahiran dan mampu menjalani pembelajaran sepanjang hayat selari dengan perubahan persekitaran bagi disip­lin Teknologi 3D AniMedia.

Selain kursus tersebut apakah kursus yang disediakan di sini?

Di LCAA, pelajar tidak hanya diajar menjadi seorang Juru Animasi sebaliknya bidang keusahawanan industri kreatif.

Program Diploma in Bussiness Creative bukan sahaja memberi kefahaman sebenar selok-belok perniagaan animasi malahan pelajar-pelajar kami didedahkan dengan cabaran sebenar di LCP.

Program ini mampu menghasilkan usahawan yang berpe­ngetahuan dan berkemahiran tinggi dalan menguruskan perniagaan bukan sahaja di peringkat tempatan malah hingga ke luar negara.

Bukan semua mampu mengikuti kursus di LCAA. Bagaimana dengan peluang bagi golongan miskin bandar dan pertengahan?

Program-program kami mendapat pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain pembiayaan dari sumber-sumber lain. Kami juga optimis setiap graduan kami akan ditawarkan pekerjaan dengan LCP setelah tamat belajar nanti.

Kita berani memberi 99 peratus jaminan pekerjaan kepada kesemua graduan yang terlibat.

Apa yang penting mereka komi­ted untuk bekerja dengan LCP.

Inisiatif bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan?

LCAA dan LCP telahpun mempunyai perancangan pembangunan dalam masa tiga hingga lima tahun bagi projek pembinaan taman tema di China dan filem animasi dalam dan luar negara.

Kesemua projek ini memerlukan hampir 600 hingga 1000 tenaga kerja dalam bidang kreatif dan pentadbiran perniagaan.

Apakah perancangan bagi memastikan bidang animasi menjadi pilihan?

Pada masa ini sebenarnya, selain fokus untuk menghasilkan tenaga kreatif untuk LCP di bawah LCAA kita juga telah mewujudkan Upin & Ipin Aca­demy bagi pihak yang berminat dengan program-program jangka pendek dan program kemahiran Malaysia.

Ini adalah usaha kita untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi muda warga kota dalam bidang animasi.

Walaupun kita baru bermula tidak sampai enam bulan dan mempunyai pelajar lebih 50 orang kita berharap jumlahnya akan bertambah pada pengambilan sesi Mac 2018.

Harapan saya suatu masa nanti Shah Alam akan dikenali sebagai Hab Kreatif Animasi terbesar di Asia Tenggara dalam masa 10 tahun ini.