Beliau yang mengusahakan tanaman itu sejak 10 tahun lalu kini menarik nafas lega apabila hasil tanamannya mendapat permintaan tinggi daripada peraih saban minggu dan permintaan naik mendadak antara 50 hingga 100 kilogram pada musim cuti serta perayaan.

“Daun kunyit merupakan ramuan penting untuk menghasilkan masakan yang enak seperti rendang daging, ayam dan ikan kayu.

“Jadi, tidak hairanlah apabila mendapat permintaan tinggi sehinggakan dalam seminggu, daun kunyit akan dipotong dua kali dengan berat antara 20 hingga 40 kg,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bagan Lalang di Hutan Melintang di sini hari ini.

Menceritakan kembali bagaimana usahanya itu bermula, Umi Kalsum berkata, tanaman tersebut hanya sekadar untuk kegunaan sendiri dan ditanam di sekeli­ling rumahnya.

Namun menurutnya, setelah melihat tanaman tersebut tumbuh dengan subur, dia bersemangat untuk meneruskan lagi usaha itu dengan mencari kawasan ta­nah yang terbiar.

“Pada mulanya ha­nya sebagai hobi dan untuk kegunaan sendiri tetapi tidak sangka lama-kelamaan menjadi satu sumber rezeki sampingan kepada ka­­mi sekeluarga,” katanya.

Penasihat petani di Bagan Lalang, Mohd. Isa Abd. Rahman, 76, berkata, tanaman kunyit di Kampung Bagan Lalang bermula sejak 2000 dengan anggaran penanaman seluas enam hingga lapan hektar.

Namun tambahnya, penanaman itu tidak dilakukan secara berkelompok dan hanya ditanam di kawasan perumahan dengan kebanyakan penduduk di kampung itu mengusahakan tanaman sama.

“Penduduk mengusahakan sendiri tanaman ini bergantung kepada kawasan tanah mereka. Kedudukan tanah di sini sa­ngat baik untuk tanaman kunyit yang menggunakan hampas atau abu kelapa sawit.

“Apa yang membuatkan ta­naman ini menghijau dan segar ialah keadaan tanahnya yang tidak terlalu kering dan sentiasa lembab. Daun kunyit dari kawasan ini juga berkualiti tinggi berbanding tempat lain,” katanya.