Malah, KUIPs yang diterajui oleh Rektornya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Othman sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam bidang berkaitan.

Usaha murni itu kini dapat direalisasikan apabila sebuah ba­­ngunan yang menempatkan Fakulti Al-Quran dan As-Sunnah telah disumbangkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Me­layu Perlis (MAIPs) kepada Universiti Fatoni (FTU), Yala, Thailand.

Bangunan bernilai RM2.3 ju­ta itu diberi nama Majma Sirajuddin Jamalullail Perlis.

Majlis perasmian bangunan tiga tingkat yang mampu memuatkan seramai 240 pelajar itu disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Selasa lalu.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Rektor Universiti Fatoni, Prof. Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Tuanku Syed Sirajuddin ber­titah, dengan penubuhan Fa­kulti Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Fatoni itu akan menjadi pemangkin kerjasama antara kedua-dua pihak.

Titah baginda, persamaan nilai antara KUIPs dan Universiti Fatoni, diharapkan menjadi pemangkin kepada perkemba­ngan ilmu di rantau ini serta di peringkat global.

“Mudah-mudahan Allah mem­perkenankan harapan dan ni­at murni ini, insya-Allah,” titah baginda.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan bahawa amalan berwakaf memainkan peranan penting kepada pembangunan ummah termasuklah pendidikan tinggi.

“Sekiranya diurus tadbir secara sistematik, dana wakaf dapat berperanan membangunkan sesebuah institusi pengajian tinggi. Ini sekali gus membantu meningkatkan tahap ekonomi negara dan menzahirkan keindahan Islam,” titah baginda.

Untuk rekod, Universiti Fatoni adalah sebuah pusat pe­ngajian berkonsepkan wakaf dan sumber zakat daripada pelbagai pihak termasuklah dari negara seperti Kuwait, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Thailand.