Mizanur Rahim Mohamed Ali, 34, dan Mohd. Razif Makip, 33, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama beberapa lagi yang masih bebas didakwa telah melarikan Richard Herboldt, 55, dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di belakang bangunan Risda, Jalan Ampang di sini pada pukul 9 malam, 6 Februari lalu.

Kedua-dua lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan jaminan, namun tertuduh yang diwakili peguam bela, Mohd. Shamril Afzan Mohamed Hasim memohon agar anak guamnya di­benarkan bebas dengan ikat jamin memandangkan Mizanur perlu men­dapatkan rawatan berhubung kecederaan yang dialaminya.

Muhamad Faizal kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta melarang mereka mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai sebagai syarat tambahan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 14 Mac ini.