Menurut BNM, platform itu menggunakan logo BNM dan Jata Negara pada reka bentuk duit syiling fizikal yang dicadangkan atas kertas putih dan laman web Coinzer tanpa kebenaran.

Jelasnya, orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dan menilai secara teliti tentang risiko berkaitan dengan pelaburan dalam mata wang digital.


“Mata wang digital adalah tidak sah di Malaysia. Sehubungan itu, mata wang digital tidak dilindungi pengaturan atau standard pengendalian pasaran berhemat yang terpakai kepada institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM,” jelas BNM dalam laman web di sini baru-baru ini.

Awal bulan ini, BNM mengeluarkan Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan untuk Mata Wang Digital bagi memastikan langkah-langkah berkesan disediakan dalam menangani aktiviti sedemikian.

BNM juga tidak menyokong mana-mana entiti yang terlibat dalam perkhidmatan pertukaran mata wang digital, sekali gus menjadikan mata wang digital tidak sah di Malaysia.

Dalam pada itu, Coinzer menjelaskan, reka bentuk duit syiling fizikal yang dicadangkan itu telah dikeluarkan daripada edisi terbaharu kertas putih dalam laman web Coinzer.

“Kami ingin menjelaskan bahawa syiling fizikal Coinzer itu adalah berdasarkan reka bentuk konseptual, pada mulanya bertujuan untuk digunakan sebagai tanda penghargaan kepada rakan kongsi.

“Walau bagaimanapun, kami sedar bahawa reka bentuk yang dicadangkan itu tidak seharusnya menggunakan logo BNM dan Jata Negara tanpa keizinan yang sepatutnya. - UTUSAN ONLINE