Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd. berkata, cadangan reka bentuk bandar dengan menaik taraf lorong belakang dan lorong sisi itu bertujuan mempertingkatkan kualiti imej serta identiti perbandaran.

Katanya, kawasan-kawasan yang dinaik taraf itu adalah Jalan Alor, Komuniti di Jalan Alor, Laman Belakang, Taman Rembia, Alam Alor, Budaya Alor, Pesta Makanan dan Kehidupan Alor.

“Keadaan bandar yang kekurangan ruang terbuka sebagai ruang awam telah menjadikan lorong-lorong belakang dan lorong sisi sebagai salah satu ruang yang bernilai dan sepatutnya digunakan dengan sebaikanya.

“Projek ini diharap membawa satu imej dan suasana baru kepada penduduk agar dapat menghargai dan bersama menjaga persekitaran bandar,” katanya ketika ditemui dalam program lawatan tapak projek pengindahan lorong belakang di sini hari ini.

Mohd. Najib berkata, kerja-kerja menaik taraf kawasan itu melibatkan pemasangan lampu pejalan kaki dan lampu dekorasi, lukisan mural 2D dan 3D pada dinding dan lantai bangunan serta penyediaan pasu bunga dan pokok di sekitar kawasan lorong. - UTUSAN ONLINE