Video oleh Meja Kota

Pada minggu lalu, perspektif biasa penulis berubah ‘360 darjah’ apabila berpeluang melihat keseluruhan bandar pintar itu dari udara.

Pengalaman itu menjadi lebih istimewa dengan menaiki belon udara panas bersempena Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya kali ke 10, baru-baru ini.

Saya tiba di lokasi pelepasan belon di Presint 2 seawal 7 pagi sebelum berlepas kira-kira sejam kemudian dengan menaiki The Princess Nelly.

Belon udara berbentuk gajah merah jambu itu merupakan salah satu daripada 20 belon yang terbang sepanjang festival empat hari tersebut.

Peter Van Overwalle
Peter Van Overwalle 

Di dalam kabin bakul rotan, penerbangan dikendalikan oleh juruterbang belon profesional dari Belgium, Peter Van Overwalle yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam aktiviti itu.

Dibantu oleh kira-kira 10 orang krew syarikat penganjur iaitu AKA Balloon Sdn. Bhd, kami berlepas dengan lancar tanpa banyak kesulitan.

Penerbangan ke paras 500 kaki yang memakan masa kurang daripada 15 minit itu agak mendebarkan walaupun ia satu pengalaman baharu yang mengujakan.

Pada ketinggian itu, saya terpegun menyaksikan keindahan ruang udara Putrajaya yang dipenuhi belon udara pelbagai bentuk dan warna.

Tidak seperti jentera udara lain, belon udara berge­rak bebas mengikut angin tanpa sebarang pengemudian.

Bagaimanapun, pengalaman Peter mengendalikan belon peribadi ketiga miliknya itu cukup mengagumkan.

“Tiada pengemudian cuma boleh membaca arah angin dan mengawal altitud (ketinggian),’’ katanya yang pernah menyertai acara itu pada penganjuran pertama pada 2009.

Beliau yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman sesekali diam untuk menumpukan perhatian pada kawalan belon.

Katanya, Putrajaya merupakan lokasi yang sangat mencabar memandangkan kawasannya dipenuhi bangunan sekali gus sukar untuk mencari tempat mendarat.

“Selain itu, bagi memastikan perjalanan berjalan lancar pembakar akan dinyalakan setiap beberapa minit agar belon sentiasa terapung,” katanya.

Selepas 35 minit berada di udara, juruterbang kami me­ngambil keputusan untuk mendarat di jalan raya ekoran kesukaran untuk mencari kawasan lapang.

Kami mendarat di Cyberjaya dengan baik tanpa sebarang kecederaan.

Pada tahun ini, sebanyak 20 juruterbang dari 14 negara antaranya Korea Selatan, Sepanyol, Slovakia, Brazil, Austra­lia, Jepun, Belgium, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Taiwan mengambil bahagian dalam acara tahunan yang dianjurkan AKA Balloon bersama Perbadanan Putrajaya.

Pelbagai aktiviti menarik dianjur sempena acara itu dengan harga tiket bermula dari RM15 hingga RM300 bergantung kepada aktiviti yang dilakukan pengunjung.