Itulah pesanan ringkas arwah isteri kepada Mohd. Zain Abdullah, 55, yang terpaksa membesarkan tujuh orang anak termasuk tiga anaknya yang tergolong dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Mohd. Zain, pesanan arwah isterinya yang meninggal setahun lalu akibat menghidap kanser payudara itu sentiasa menjadi pegangan dan pembakar semangatnya untuk terus bersama anak-anaknya.

“Dulu sewaktu saya makan bersama arwah isteri, dia pernah pesan supaya saya jaga semua anak-anak kami yang OKU walau apa jadi sekali pun.

“Memang saya pegang pesan isteri saya sehinggakan ada mereka yang datang minta untuk ambil dan jaga anak saya kerana kasihan, saya tetap tidak bagi dan tetap akan jaga selagi saya hidup,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Video berdurasi satu minit 48 saat yang memaparkan Mohd. Zain bersama tiga anaknya yang OKU mula tular di media sosial dan ditonton lebih satu juta pengikut laman Facebook.

Arwah isterinya, Nor Aini Ismail, 49, telah meninggal dunia pada Disember 2017 akibat derita kanser payudara sejak bulan Mac tahun lalu.

Mohd. Zain yang bekerja sebagai tukang kayu hanya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM700 hingga RM800 sebulan bagi menampung perbelanjaan sekeluarga sebelum mendapat bantuan lain.

“Kalau ikutkan pendapatan dan kerja tukang kayu saya memang tidak menentu. Saya sangat bersyukur dengan adanya bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan dan setiap anak OKU saya diberi bantuan RM350 di samping bantuan orang ramai yang dihulurkan melalui akaun kami,” ujarnya.

Dia yang menetap di Kampung Kok Keli 1, Tumpat, Kelantan itu reda dengan ketentuan hidup dan berjanji akan terus membesarkan anak-anaknya dengan sebaik mungkin.

Ditanya perkembangan kesihatan anak-anaknya yang OKU, Mohd. Zain memberitahu, anaknya yang disahkan menghidap masalah OKU genetik yang berkait dengan keturunan selepas tiga bulan dilahirkan itu dijaga rapi anak sulungnya, Umi Syamira, 26.

“Anak kedua, kelima dan keenam yang OKU, yang lain Alhamdulillah normal dan bersekolah seperti biasa. Cuma yang sulungnya terpaksa menjaga adik-adiknya sepenuh masa sehingga sekarang.

“OKU jenis genatik ini menyebabkan badan anak-anak saya lembik seperti tiada tulang,” tambahnya.

Tegasnya, meskipun terpaksa membesarkan anak-anak seorang diri dengan tulang empat keratnya itu, dia langsung tidak pernah memikirkan soal diri sendiri termasuk membina rumah tangga bersama isteri lain.

“Tak pernah terlintas untuk saya kahwin lain. Saya betul-betul mahu fokus kepada anak dahulu kerana anak-anak saya perlu dijaga rapi seperti waktu makan, mandi dan tidur mereka, sebab mereka istimewa dan tidak seperti kanak-kanak lain,” ujarnya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 103016042526 atas nama Mohd. Zain Abdullah atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1199541000007817 atas nama Umi Shamira Mohd. Zain yang merupakan anak sulungnya. – UTUSAN ONLINE