Video oleh Mohamad Athir Ismail

Malah, indikasi dalam Indeks Ketegangan Masyarakat (IKM) juga menunjukkan nisbah yang begitu jauh iaitu 11.5 kes daripada sejuta penduduk.

Indikasi tersebut dijelaskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Baharin Idris yang turut menyatakan IKM merupakan pengukur untuk mengawasi dan mengetahui perpaduan negara.

“Negara kita berada dalam tahap yang cukup baik. Selain berada dalam kedudukan ke-29, perpaduan masyarakat juga menyumbang kepada skor-skor lain seperti Indeks Perhubungan Masyarakat (IPM) dan Indeks Rasa Selamat (IRS).

“Malah indikasi IRS juga menunjukkan, 92.21 peratus dalam kawasan yang berada di bawah Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) yang aktif berasa selamat.

“Ini menunjukkan perhubungan masyarakat pelbagai kaum dalam sesuatu kawasan berada pada tahap yang begitu baik,” katanya ketika ditemubual dalam program ‘Moments of Unity: Perpaduan Di Hati’ hari ini.

Program tersebut juga menjadi kayu pengukur bagi perpaduan apabila berjaya menghimpunkan penduduk pelbagai kaum dan etnik minoriti.

Tambah Baharin, program itu menjadi salah satu inisiatif untuk menunjukkan masyarakat berbilang kaum boleh duduk sebumbung untuk meraikan sesuatu seperti program ‘Moments of Unity’.

“Program yang diadakan hari ini merupakan buah fikiran Perdana Menteri dan ia pertama kali di adakan.

“Penganjurannya mendapat kerjasama yang amat baik daripada pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 16 Rukun Tetangga dan masyarakat setempat.

“Dalam masa sama turut memberi pengikitirafan kepada sembilan orang Ikon-Ikon Perpaduan di atas sumbangan mereka dalam pelbagai bidang yang secara tidak langsung menggalakkan perpaduan dalam negara,” ujarnya.

Program Moments of Unity itu dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Lebih 3,000 pengunjung hadir ke program itu yang turut menyaksikan lafaz ikrar oleh 36 orang mewakili sembilan NGO dan Rukun Tetangga untuk menyatakan sokongan kepada usaha perpaduan. - UTUSAN ONLINE