Video oleh Mohamad Athir Ismail

Walaupun turapan tersebut menjadi jalan rata, namun masalah lain timbul apabila ia membentuk lubang-lubang sedalam lima hingga 15 sentimeter atau sejengkal.

Lebih memburukkan keadaan, kedudukan lubang berkenaan yang agak di tengah jalan menyebabkan ramai pengguna tidak sedar dan 'terperangkap' dalam lubang berkenaan.

Penunggang motosikal terdedah kepada kecederaan, malah nyawa mungkin terancam, manakala pemilik kereta bakal menanggung kerugian tinggi akibat kerosakan selepas 'jatuh' dalam lubang berkenaan.

Bagi pengguna yang biasa melalui jalan berkenaan, mereka akan memperlahankan kenderaan atau cuba memasuki laluan tengah, dan ini sekali gus antara penyebabkan berlaku kesesakan di kawasan berkenaan.

Melihat kepada masalah tersebut yang sudah berlarutan mengundang persoalan, sama ada sememangnya kualiti kerja seperti itu dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Dari sudut lain, antara persoalan yang boleh dibangkitkan adalah tidakkah ada rasa bersalah bagi pihak yang melakukan kerja turapan berkenaan menyiapkan kerja namun pada akhirnya meletakkan pengguna dalam situasi bahaya.  

Tinjauan wartawan Utusan Online di Jalan Chan Sow Lin dan mendapati selain kedalaman lubang, kedudukannya juga berada hampir di tengah jalan.

Terdapat 14 penutup saluran air di jalan berkenaan ‘tenggelam’ yang berbahaya kepada pengguna terutama penunggang motosikal

Lebih teruk lagi, kedalaman penutup saluran itu mencecah antara lima hingga 15 sentimeter.

Sementara keluasan penutup yang menjadi lubang di tengah jalan pula adalah 0.5 meter persegi.

 

Jalan Tun Razak (arah Selatan)

Lubang Jalan Chan Sow Lin
MASALAH yang sama di jalan utama ibu kota, Jalan Tun Razak terdapat lubang penutup saluran air yang 'tenggelam' selepas permukaan jalan raya ditar berkali-kali dan membahayakan pengguna terutama penunggang motosikal. - UTUSAN ONLINE

Tidak terlepas dalam tinjauan wartawan Utusan Online adalah Jalan Tun Razak di hadapan pusat servis kenderaan mewah berhampiran susur keluar dan masuk Jalan Chan Sow Lin.

Bagaimana sebatang jalan utama di ibu kota, terdapat lapan lubang (penutup salur air) berada di sebelah garisan menghampiri kawasan tengah laluan kiri jalan raya.

Sementara kedalaman lubang itu rata-ratanya antara lima hingga 10 sentimeter dan berkeluasan kira-kira 0.5 meter persegi.

Keadaan jalan sedemikian ternyata berbahaya, malah terdapat kesan pada penutup salur air itu menunjukkan jalan tersebut sudahpun ditar beberapa kali.

Namun tiada tindakan untuk membetulkan kedudukan penutup saluran air itu supaya selari dengan permukaan jalan raya sekali gus menjamin keselamatan pengguna.

 

Sebabkan kemalangan jalan raya

Lubang Jalan Chan Sow Lin

Kedalaman lubang penutup saluran air mencecah antara dua inci (lima sentimeter) hingga enam inci (15 sentimeter). - UTUSAN ONLINE

Makluman balas orang ramai mendapati kemalangan sering berlaku akibat lubang berkenaan. 

Seorang pekerja di kawasan perindustrian di situ, Sureenraj memberitahu, Ahada lalu terdapat kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang terlanggar lubang penutup salur air di Jalan Chan Sow Lin berhampiran Jalan 3.

Katanya, penunggang motosikal malang itu terjatuh selepas terlanggar lubang penutup salur air.

“Kejadian kemalangan dekat Jalan Chan Sow Lin terutama di Jalan 3 memang kerap berlaku.

“Semalam baharu sahaja berlaku, selain penunggang cedera, motosikalnya rosak teruk.

“Kalau pihak berkuasa atau kontraktor membetulkan kedudukan penutup air yang tenggelam ketika menurap jalan, pasti kejadian sedemikian tidak berlaku,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Alvin Liew mengaku pernah terjatuh dua kali ketika menunggang motosikal akibat terlanggar lubang.

“Saya tidak tahu, bila jalan dekat sini hendak dibetulkan sebab sepanjang bekerja dekat sini pun sudah jatuh dua kali akibat terlanggar dua lubang berasingan.

“Bila saya elak lubang yang menyebabkan terjatuh, terlanggar pula lubang lain yang saya tidak perasan,” keluhnya.

 

Bukan masalah baharu

Lubang Jalan Chan Sow Lin

Lubang dalam boleh menyebabkan kerosakan pada rim atau penyerap hentakan kereta ataupun motosikal. - UTUSAN ONLINE

Isu lubang penutup saluran air di Jalan Chan Sow Lin bukan isu baharu, malah ia sudahpun saban tahun dipersoalkan.

Lebih teruk lagi, pengguna yang jarang melalui jalan tersebut turut mengeluh keadaan permukaan jalan di sana masih sama walaupun sudah diturap baharu.

Menurut Hafiz Machat, dia jarang pergi ke kilang di Jalan Chan Sow Lin dan akan datang jika diarahkan untuk hadir ke sana.

“Kali terakhir saya datang sini adalah lima bulan lalu, sekarang jalan cantik kerana ditar baharu.

“Tetapi sayangnya, lubang penutup saluran air masih seperti dahulu bahkan semakin dalam” ujarnya.

Sementara menurut Sureenraj lagi, jalan tersebut memang kerap kali ditar baharu kerana kenderaan berat melalui laluan itu.

“Awal tahun hari itu pun, ada kontraktor datang untuk tar Jalan Chan Sow Lin sebab jalan sudah terlalu teruk.

“Tetapi, apabila saya bertanya kepada kontraktor kenapa tidak betulkan lubang penutup saluran air dan mereka jawab ‘itu kerja kontraktor lain, kami cuma tar jalan sahaja’.

“Akibat kemalangan, tiga lubang paling dalam dekat Jalan Chan Sow Lin telah ditanda dengan semburan cat berwarna putih sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya untuk elak lubang,” ujarnya kesal. - UTUSAN ONLINE