Beberapa jalan raya utama di ibu negara terus sesak namun keadaannya masih terkawal.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kesesakan itu disebabkan masih ramai warga kota mengambil kesempatan membeli-belah kelengkapan hari raya di saat-saat akhir sebelum mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.

Sehingga pukul 4 petang tadi, jumlah kenderaan dilihat semakin meningkat memasuki pusat bandar raya dan trafik mulai bergerak perlahan terutama di Jalan Tuanku Abdul Halim, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Loke Yew dan Jalan Tun Razak.

Di kawasan tumpuan membeli-belah kelengkapan raya seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Chow Kit juga sesak dengan pengunjung.

Penutupan beberapa jalan lencongan dan projek-projek pembinaan serta kenderaan yang berhenti menurun dan mengambil penumpang turut menjadi penyumbang kepada kesesakan di pusat bandar raya.

Sementara itu, tinjauan di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke Lebuh Raya Utara-Selatan pula mendapati, trafik lancar dan terkawal, tanpa sebarang kesesakan. - UTUSAN ONLINE