Pemilik Restoran Cheese Banjir, Shahfizzam Moideen, 31, berkata, dia bereksperimen dengan campuran empat jenis keju mozarella, cheddar dan dua keju rahsia lain.

“Ketika restoran ini beroperasi sejak Ogos lalu, kami membuat hasil kaji selidik terhadap 100 pelanggan mengenai hidangan keju. Sebelum ini ada pelanggan yang boleh terima dan ada tidak boleh terima.

“Alhamdulillah, usaha saya berjaya dan terhasil resipi ‘keju banjir’ ciptaan sendiri dan akhirnya pelanggan berpuas hati. Keju ini mempunyai rasa masin, manis, masam dengan campuran sos istimewa yang kita gabungkan,” katanya.

Shahfizzam atau lebih mesra dikenali GB, restoran tersebut diusahakan bersama seorang rakan yang dikenali sebagai Mamu dan kesemua idea untuk hidangan datang dari mereka.

“Saya memang minat memasak sejak berumur 10 tahun dan suka tengok orang makan. Disebabkan saya berbadan besar, saya memberikan hidangan besar kepada pelanggan supaya mereka rasa puas dan kenyang.

“Saya tidak pernah belajar menjadi seorang chef, tetapi saya suka pergi ke restoran-restoran untuk bertanya bagaimana cara masakan mereka seterusnya saya mencuba sendiri,” katanya.

Katanya, idea keju banjir bermula sejak lapan bulan lalu sambil menyasarkan para pelanggan yang terdiri daripada golongan anak muda dan keluarga.

“Saya memang mempunyai latar belakang dunia perniagaan dan mengajar orang ramai mengenai perniagaan. Tetapi saya lari bidang untuk membuka restoran. Sehingga kini saya masih mengajar sesiapa yang berminat untuk bisnes,” katanya.

Restoran ini menghidangkan pelbagai menu gabungan Barat dan tradisional Melayu dengan hidangan yang besar serta harga berpatutan.

Uniknya, semua menu istimewa dinamakan dengan watak-watak adiwira seperti Lamb Grill The Hulk (RM40), Sotong Ultraman (RM18), Fish & Chip Thor (RM30), Udang Gorgon (RM30) dan Asam Pedas Ikan Merah Starlord (RM20).

Selain itu, terdapat pilihan beberapa jenis ikan seperti merah, jenahak, siakap, tenggiri, pari, bawal dan kepala ikan untuk dimakan bersama nasi, sambal kicap, belacan dan ulam,” katanya.

Lebih istimewa, para pelanggan tidak akan dikenakan bayaran untuk menambah menu nasi, ulam dan kuah dan ianya percuma.

Restoran yang terletak di Lot G10, G-Village, Jalan 1/76D, Desa Pandan, Kuala Lumpur ini beroperasi pada pukul 10.30 pagi hingga 10.30 malam setiap hari.

Bagi sebarang pertanyaan anda boleh melayari laman Facebook, CheeseBanjirRestaurant. - UTUSAN ONLINE