Program anjuran pihak berkuasa tempatan itu berlangsung di Skytrex Adventure, Taman Botani Negara, Shah Alam pada 9 Disember lalu dan disertai pengamal media daripada Utusan Malaysia, Kosmo, Bernama dan Sinar Harian.

Acara julung kali diadakan itu bertujuan merapatkan hubungan persaudaraan antara satu sama lain selain membina kekuatan mental dan fizikal melalui aktiviti lasak yang menusuri kawasan hutan.

Program kesukanan itu menyaksikan peserta diuji dengan 23 halangan mencabar yang perlu ditempuh pada ketinggian lima hingga 21 meter dari aras tanah dan mengambil masa selama hampir dua jam untuk menamatkannya.

Antara cabaran hebat yang perlu diharungi mereka adalah flying fox, memanjat dan menuruni tangga, meniti jambatan besi dan kayu yang pastinya menambahkan keseronokan serta kepuasan berganda kepada peserta.


Seorang peserta dari Kosmo, Haziq Asnawi Hassan Azhari, 25, berkata, program yang disertainya buat pertama kali itu berlainan berbanding aktiviti sukan lain kerana ia memerlukan fokus sebenar berbekalkan semangat tinggi.

“Kalau kita tengok pada aras ketinggian itu agak menakutkan lebih-lebih apabila saya dilanda ‘sindrom’ gayat pada ketinggian. Bagaimanapun, saya berjaya melepasi kesemua halangan itu dan mungkin akan mengulanginya lagi,” katanya.

Video oleh NIK HAFIZUL BAHARUDDIN

Seorang lagi peserta yang mahu dikenali sebagai JodoX, 30, berkata, cabaran ekstrem yang ditempuhinya itu begitu mudah dilakukan dengan kepantasan masa diambil iaitu sejam 30 minit.

“Selain memanjat gunung dan berbasikal, sukan lasak seperti ini memang menjadi aktiviti kegemaran saya di waktu lapang. Walaupun halangan itu tidak begitu sukar, namun ia tetap memberikan kepuasan dan keseronokan.

“Saya harap program ini dijadikan program tahunan DBKL untuk mengurangkan tekanan kerja,” katanya sambil menambah lokasi berkenaan turut sesuai dijadikan aktiviti riadah dan santai bersama keluarga. - UTUSAN ONLINE