Bangunan pusat tahfiz yang baharu itu terletak kira-kira 400 meter dari bangunan sementara yang terbakar pada 14 September lalu.

Pengetuanya, Mohd. Zahid Mahmood berkata, bangunan baharu itu merupakan tapak asal pusat tahfiz sepatutnya mula beroperasi pada hujung September lalu, namun terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan dahulu.

“Selepas tragedi kebakaran lalu, jadi kita perlu selesaikan beberapa perkara dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berwajib lain, menguruskan pelajar cedera serta kemasukan alat-alat kelengkapan belajar.

“Justeru dalam masa sebulan, saya menjangkakan perkara-perkara yang menangguhkan operasi pusat tahfiz dapat diselesaikan terutama yang berkaitan dengan aspek keselamatan,” katanya kepada Utusan Online.

Beliau menambah, bangunan baharu ini dilengkapi dengan kemudahan yang dinaiktaraf serta kawalan keselamatan yang dipertingkatkan seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan alat pemadam api.

“Bangunan baharu ini akan memberikan keselesaan kepada para pelajar seperti pemasangan karpet di ruang solat, penghawa dingin di asrama serta meningkatkan kawalan keselamatan.

“Dengan pembaharuan ini, saya berharap pelajar dapat tinggal belajar dengan lebih baik dan selesa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Redhauddin Kamruzaman yang hadir memberi sumbangan kepada Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, menasihatkan warga pusat tahfiz itu mengambil berat tentang langkah-langkah keselamatan.

“Kita hendak mencadangkan kepada pusat-pusat tahfiz seluruh Malaysia supaya mewujudkan hubungan dengan pihak berkuasa dan bertemu dengan mereka untuk agar dapat diberikan pendedahan tentang langkah-langkah untuk menghadapi kecemasan.

“Banyak yang kita perlu pelajari terutama dalam aspek keselamatan kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa dijangka.

“Justeru, kita juga berharap satu modul khas berkaitan dengan keselamatan dapat dimasukkan dalam silibus pembelajaran supaya aspek keselamatan dapat dititikberatkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE.